Salah tafsir jumlah waktu bekerja MySG punca kekeliruan - NUTP


KUALA LUMPUR: Kekeliruan mengenai waktu bekerja dalam kalangan guru dikatakan berpunca akibat tafsiran salah dibuat sesetengah pihak berhubung pelaksanaan Tadbir Urus Sekolah Malaysia (MySG) dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM). 

MySG menggariskan waktu bekerja penjawat awam di negara ini dalam seminggu adalah 45 jam seperti ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan selaras ketetapan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). 

MySG ialah garis panduan pengurusan sekolah komprehensif dan sistematik, bertujuan mengatasi isu kekaburan peranan guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) di sekolah serta menyeragamkan pengurusan sekolah berdasarkan program dan aktiviti daripada Bahagian KPM yang perlu ada di semua sekolah. 

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata kekeliruan itu wujud apabila segelintir pengetua dan guru besar (PGB) membuat tafsiran sendiri, walaupun tidak memahami sepenuhnya MySG. MySG sebaliknya tidak membabitkan pertambahan masa bekerja hingga menyebabkan guru perlu pulang ke rumah masing-masing ketika petang, selepas tamat sembilan jam waktu bekerja. 

Katanya, MySG diterbitkan sebagai panduan bagi mengatasi kekaburan fungsi dan peranan warga pendidik, selain dijadikan rujukan rasmi berkaitan prosedur proses kerja dan tanggungjawab lebih teratur. 

"MySG bertujuan mengurangkan kekaburan dalam pelaksanaan tugas dan seterusnya dapat meningkatkan prestasi penyampaian pendidikan. Ia sebenarnya mahu memastikan guru menjalankan tanggungjawab berasaskan kepada peraturan dan pekeliling sedia ada. 

"Waktu bekerja penjawat awam terbahagi kepada waktu bekerja pejabat dan bukan pejabat. Di sekolah, PGB dan AKP bekerja menggunakan waktu bekerja pejabat, manakala guru bekerja menggunakan waktu bekerja bukan pejabat tetapi masih terikat kepada penetapan waktu bekerja JPA iaitu 45 jam seminggu. 

"Ia merangkumi waktu persekolahan, membabitkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan bukan PdP serta luar waktu persekolahan membabitkan pelaksanaan aktiviti kokurikulum dan lain-lain," katanya kepada BH. 

Beliau mengulas dakwaan waktu tamat bertugas guru ditetapkan masing-masing antara jam 3 hingga 6 petang berdasarkan ketetapan MySG dengan ia akan berkuat kuasa pada hari pertama persekolahan sesi 2022/23 yang tular di media sosial, baru-baru ini. 

Memperincikan waktu bertugas guru, Aminuddin berkata, kerajaan tidak pernah menyatakan waktu tamat bertugas warga pendidik secara rasmi seperti penjawat awam lain, namun guru di Semenanjung hendaklah memulakan tugas seawal jam 7.40 pagi. 

Bagaimanapun, katanya, secara amalannya, waktu tamat tugas guru apabila berakhirnya setiap sesi persekolahan dan baki waktu bertugas itu diteruskan di luar sekolah. 

"Tempoh sembilan jam dalam MySG itu tak semestinya guru perlu balik pada jam 4 petang. Ini kerana, walaupun guru pulang jam 2 petang, mereka masih menjalankan tugas warga pendidik di rumah masing-masing. 

"Tugasan ini merangkumi membuat semakan buku latihan pelajar, perancangan mengajar keesokan hari dan melayan panggilan telefon daripada ibu bapa murid. 

"Tugas guru sepatutnya dari segi waktu balik tiada perubahan seperti sebelum ini. MySG itu hanya untuk menerangkan mengenai kekaburan terhadap apa sepatutnya dilakukan guru supaya mereka tidak melakukan di luar skop tugasan," katanya.

Muat Turun mySG DI SINI

 

Previous Post Next Post