KPN siasat isu guru minta waris jangan hantar anak ke tabika


ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memandang serius aduan ibu kepada murid tadika perpaduan di Selangor yang mendakwa seorang guru memintanya agar tidak menghantar anaknya ke tabika berkenaan kerana kerap menangis. 

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, siasatan sedang dilakukan terhadap guru berusia lingkungan 50-an tahun itu berhubung kejadian pada Jumaat lalu. 

Guru berkenaan kini ditempatkan sementara di Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat sehingga siasatan kes itu selesai. 

Siasatan awal mendapati guru tabika terbabit memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan berpengalaman mendidik murid pra sekolah selama 29 tahun, katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Geran KRT 2022 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Serbaguna Kementerian Dalam Negeri (KDN) Anak Bukit pada Sabtu. 

Sebelum ini, seorang waris meluahkan kekecewaannya di media sosial berhubung tindakan seorang guru yang mendakwa stres dan meminta wanita itu tidak menghantar lagi anak lelakinya ke Tabika Perpaduan disebabkan sering menangis. 

Perkongsian ibu kepada kanak-kanak itu pada Jumaat mendapat 14,000 perkongsian dan 6,900 komen setakat Sabtu. 

Mengulas lanjut, Halimah menasihatkan sebarang masalah yang berlaku perlu dibincangkan secara baik dan bukannya bertindak sedemikian rupa. 

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya juga akan bertemu dengan ibu bapa kepada murid tabika perpaduan berkenaan. 

Ketika diminta mengulas tindakan guru terbabit, Halimah menegaskan etika perguruan perlu ada walaupun sekadar guru perpaduan memandangkan mereka juga telah dihantar untuk mengikuti kursus Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak selain kerjasama pihak kementerian dengan universiti. 

Beliau menjelaskan, guru-guru tadika perpaduan diberi latihan dan tidak dipilih secara sebarangan walaupun hanya mendidik kanak-kanak berusia antara empat hingga lima tahun. 

Malah, guru tabika perpaduan juga ditetapkan syarat memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang tertakluk kepada silibus dan sistem ditetapkan. 

Jadi sekiranya guru-guru ini ada masalah melibatkan murid, mereka sepatutnya berurusan terus dengan ibu bapa dan berjumpa mereka. Lagipun, kita ada jawatankuasa penyelaras tabika perpaduan yang boleh digunakan dalam urusan ini, jelasnya. 

Dalam pada itu, Halimah berkata, tabika perpaduan memiliki cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan bukannya dengan mengambil tindakan sendiri. 

Jadi kita minta Ketua Pengarah untuk membuat kaji selidik terhadap guru tadika perpaduan untuk melihat sama ada mereka memiliki minat dan kesungguhan sebagai pendidik walaupun hanya mengajar kanak-kanak bawah umur. 

Kaji selidik dilaksanakan ini dapat membantu kita untuk melihat idea-idea baharu dalam menyediakan suasana lebih kondusif untuk mereka mendidik anak-anak ini, ujarnya.

 

Previous Post Next Post