Polis siasat punca murid perempuan berada di kondominium


PETALING JAYA: Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca seorang murid perempuan sebuah sekolah, dekat sini yang dilaporkan hilang boleh berada di sebuah kondominium di Bandar Tun Razak, semalam.

Kehilangan kanak-kanak itu pada mulanya disedari ibunya sebelum dia dan pengurusan sekolah cuba mencari kanak-kanak tersebut di kawasan berdekatan, namun gagal.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berikutan kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh bapa saudara mangsa kira-kira pukul 7.30 malam di Balai Polis Cheras.

Kata beliau, polis menggerakkan semua elemen penugasan termasuk pasukan siasatan bagi mengesan kanak-kanak yang hilang dengan kadar segera.

Pada masa sama, polis memohon bantuan orang ramai untuk sama-sama menyalurkan sebarang maklumat melalui hebahan di media sosial.

“Bagaimanapun, kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan baik oleh orang awam di kawasan pekarangan lobi kondominum berkenaan yang kemudian menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kata beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati, kanak-kanak tersebut dalam keadaan sihat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Jelas beliau, selesai proses dokumentasi, kanak-kanak tersebut diserahkan semula kepada keluarganya.

Justeru, polis Cheras memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post