Sistem pendidikan negara sudah tidak selari keperluan masa depan - Pakar


KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara masih berteraskan industri pembuatan dan kilang sedangkan kebanyakan spektrum itu sudah mengecil dan syarikat besar bukan lagi pemain utama industri. 

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata apabila sistem pendidikan masih berteraskan industri barangan pengguna ketika negara bukan lagi pemain utama sektor itu, ia menyebabkan tidak banyak peluang pekerjaan tersedia untuk pelajar. 

"Apa yang berlaku dengan perkembangan kini, negara yang menyediakan latihan berdasarkan perisian, teknologi maklumat dan digitalisasi akan mengambil peluang yang ada. Malah, pelabur yang datang ingin membuka syarikat besar di negara ini juga akan mengambil tenaga terlatih dari luar disebabkan bidang ini tidak begitu besar di negara kita. 

"Perancangan sistem pendidikan negara sama ada di peringkat sekolah atau universiti sebaliknya perlu responsif dan selari bagi memenuhi keperluan negara dalam 10 hingga 15 tahun akan datang. Kandungan pelajaran perlu selari dengan keperluan masa hadapan, bukan hanya membabitkan tahun persekolahan yang panjang," katanya kepada BH. 
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Dr Abdul Latif Abu Seman pada Khamis lalu, bahawa kedudukan Malaysia dalam Purata Tahun Persekolahan menggambarkan kalangan pekerja tempatan mempunyai kekurangan dari segi kemahiran sehingga menyebabkan majikan menawarkan gaji yang rendah. 

Purata Tahun Persekolahan adalah petunjuk yang biasa digunakan untuk mengukur tahap kemahiran berdasarkan jumlah tahun seseorang pekerja menerima pendidikan. 

Abdul Latif dilaporkan berkata, berkata data peringkat nasional dan antarabangsa jelas menunjukkan terdapat hubung kait yang rapat antara bakat berkemahiran dengan produktiviti, kadar upah dan pampasan diterima pekerja dengan kemahiran adalah penting untuk meningkatkan gaji serta produktiviti. 

"Petunjuk yang digunakan untuk mengukur tahap kemahiran adalah Purata Tahun Persekolahan. Justeru, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk meningkatkan prestasi Malaysia dalam pencapaian pendidikan negara," katanya lagi. 

Anuar memberi contoh, banyak negara di dunia termasuk Norway, Sweden dan Finland cuba membangunkan kurikulum kreativiti dan inovasi sejak 1990-an lagi selari keperluan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dijangkakan mengambil tempat pada masa itu. 

"Mereka menjangkakan 15 hingga 20 tahun dari dekad 1990-an, keperluan dalam bentuk digital akan menjadi sangat tinggi, justeru usaha dilakukan bagi menyediakan pelajar ke arah itu melalui sistem pendidikan negara. 

"Kita pula, meskipun mata pelajaran dan silibus padat serta sukar dengan masa pembelajaran yang panjang tetapi apa yang dipelajari, relevansinya rendah pada masa akan datang. Bukannya disebabkan pelajar kita tidak bijak. 

"Jika penggubal pendidikan kita lambat respon kepada keperluan masa depan dan merasakan sistem sekarang sudah solid dan tidak boleh diubah, kemahiran pelajar kita tidak akan setanding dengan negara yang sudah merencana pendidikan mereka dengan hebat," katanya. 

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Tan Sri Haili Dolhan, berkata pendidikan perlu dirancang secara bersepadu di antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan kursus di institusi pengajian tinggi (IPT) kekal relevan dengan ilmu serta pengetahuan kini dan masa depan. 

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP),Tan Sri Haili Dolhan Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP),Tan Sri Haili Dolhan  "KPM perlu menjurus kepada ilmu dan pengetahuan yang menyediakan pelajar ke jurusan atau kemahiran diperlukan. Jadi, mata pelajaran diajar perlu menyediakan murid yang boleh menjadi individu berfikir aras tinggi, berintegriti, berjiwa tinggi, berilmu pengetahuan relevan, sedia dilatih. 

"Murid juga mesti dilatih untuk mampu menerima cabaran, menerima ilmu serta kemahiran yang sentiasa berubah serta mahu maju dan boleh menerima perubahan ini. Mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) penting, bahasa Inggeris untuk ilmu dan perhubungan antarabangsa, bahasa Melayu pula untuk jati diri dan identiti nasional.

"Pelajar perlu dididik bukan untuk lulus cemerlang akademik sahaja. Kemahiran belajar teknologi baharu sangat diperlukan, selain watak, sahsiah serta keperibadian juga penting," katanya.

 

Previous Post Next Post