(Video) Calon habis kertas SPM bertempiaran dikejar polis


KLUANG – Polis sedang menyiasat sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai pelajar sekolah berikutan menunggang secara melulu dan berbahaya di Jalan Lingkaran Tengah di sini kira-kira 2 petang Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, berkata, perbuatan itu dikesan pihaknya melalui satu rakaman video tular berdurasi 14 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun facebook ‘Aku Budak Kluang’ semalam.

“Polis sudah mengenal pasti beberapa individu daripada kumpulan berkenaan yang dikesan melakukan perbuatan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan merbahayakan” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihak polis menyeru semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Ia bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan kemalangan jalan raya dapat dielakkan.

“Tindakan tegas akan diambil bag memastikan undang-undang dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya. -KOSMO! ONLINE

 

Previous Post Next Post