Cikgu Fadli dicari polis


Kuala Lumpur: Polis masih berusaha mengesan lelaki dikenali Cikgu Fadli yang mendakwa di media sosial kononnya tiada proses bedah siasat dilakukan ke atas kes kematian bayi sindrom down berusia 10 bulan, Adam Rizqi Abdul Azim pada 3 Mei 2020. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, buat masa ini polis masih belum dapat merakam keterangannya susulan kenyataan dibuat oleh individu terbabit. 

"Kita masih dalam proses mengesan individu terbabit dan akan dipanggil memberi keterangan," katanya kepada Harian Metro hari ini. 

Harian Metro semalam melaporkan polis sudah membuka kertas enkuiri untuk menentukan sama ada wujud elemen jenayah dalam kematian bayi digelar Baby Adam itu dua tahun lalu. 

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali akan turut dipanggil memberi keterangan tetapi terpaksa ditangguhkan kerana dia menghadapi perbicaraan di mahkamah di Jalan Duta, di sini. 

Siti Bainun kini dalam perbicaraan kes penderaan remaja down sindrom yang dikenali sebagai Bella tahun lalu. 

Susulan kes Bella, beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendakwa kematian Baby Adam ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak dan mereka mendesak polis supaya membuka semula kertas siasatan. 

Namun Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan terdahulu mendapati tiada sebarang unsur jenayah berhubung kematian Adam.

 

Post a Comment

0 Comments