Pembelajaran bersemuka bantu tingkat, pulih psikologi murid


Mulai 17 dan 18 April ini, semua murid sekolah rendah perlu hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebelum ini, KPM mengumumkan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi pelajar sekolah menengah kembali dilaksanakan secara bersemuka mulai 4 April selepas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan selama dua minggu bermula 21 Mac lalu.

Penularan pandemik COVID-19 sejak 2020 banyak mempengaruhi landskap pendidikan negara. Bahkan ketika pandemik menular, pembelajaran dijalankan di rumah secara maya, sekali gus menimbulkan kejutan kepada murid, ibu bapa dan guru.

Tinjauan daripada syarikat Kaspersky terhadap murid di Asia Pasifik mendapati 45 peratus murid dikatakan lebih cenderung belajar secara dalam talian.

Ketika pandemik, pembelajaran tidak bersemuka antara guru dan murid mengambil sedikit masa untuk penyesuaian.

Jelas sekali situasi pembelajaran yang berubah secara mengejut memberi kesan terhadap perkembangan mental murid.

Pada awalnya pelbagai masalah timbul termasuklah dalam aspek psikologi seperti emosi, perasaan, fikiran, tekanan dan kebimbangan.

Lebih membimbangkan apabila terdapat individu mengambil tindakan tanpa berfikir panjang melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan undang-undang.

Menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCF) dan Tabung Populasi PBB (UNPF), 20 peratus murid dikatakan hilang minat ke sekolah disebabkan masalah dialami ketika pembelajaran dalam talian.

Kehilangan motivasi untuk belajar memberikan kesan terhadap prestasi di bilik darjah. Kebimbangan sedemikian perlu diberi perhatian sewajarnya dalam segala aspek termasuk dalam aspek psikologi murid.

Sejarah mereka ketika era pandemik perlu diambil kira yang mana sebahagian daripada murid mengalami masalah mengikuti PdPR seperti menggunakan telefon bimbit dan tidak mempunyai akses terhadap komputer.

Ada murid terpaksa berkongsi telefon bimbit dengan ibu bapa atau adik-beradik. Lebih malang lagi apabila mereka tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian kerana ibu bapa bekerja atau digunakan adik-beradik lain.

Pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekiranya tidak diurus dengan baik dikhuatiri memberi tekanan kepada murid yang mempunyai masalah ketika PdPR dan meningkatkan jurang pencapaian murid antara kategori B40, M40 dan T20, serta murid di bandar dan luar bandar.

Walaupun persekitaran berubah-ubah, tindakan bersesuaian perlu dilakukan dalam memastikan sistem pendidikan disediakan berkualiti, memenuhi aspirasi negara ke arah menghasilkan peningkatan dalam aspek sosial, ekonomi dan kesihatan individu dan masyarakat.

Oleh itu, guru dan pendidik perlu mencari jalan penyelesaian sesuai untuk membantu murid terutamanya sebelum ini sukar mengikut sesi PdPR, dapat kembali bersekolah bersemuka dengan penuh persediaan.

Bagi murid mempunyai kecerdasan emosi yang baik, mereka mampu menguruskan emosi sendiri dan mampu mengadaptasikan diri dengan keadaan persekitaran yang berubah-ubah serta membantu mereka mencapai matlamat hidup.

Kejutan pandemik COVID-19 secara tiba-tiba menyebabkan masyarakat lebih mengutamakan ekonomi keluarga berbanding pendidikan anak-anak.

Oleh yang demikian, bagi murid kurang bersedia dan kurang mendapat dorongan daripada ibu bapa untuk belajar, mereka perlu mendapat sokongan sewajarnya daripada pihak sekolah dan masyarakat.

Dengan adanya sokongan sosial dalam kalangan warga pendidik, murid akan berada dalam keadaan lebih tenang dan bersemangat melalui dorongan positif untuk terus berusaha dalam pembelajaran walaupun berdepan dengan situasi pelbagai.

Dari sudut positif, PdPR membuka ruang pengalaman untuk guru mengekalkan penggunaan teknologi pendidikan dan media digital.

Ia meningkatkan keupayaan mereka menyediakan murid dengan akses pembelajaran yang luas kepada sumber dan bahan pembelajaran tanpa terhad di dalam kelas saja.

Selain itu guru juga harus sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan semua media baharu yang wujud dalam menjalankan aktiviti pembelajaran dan pentaksiran.

Penggunaan kaedah pembelajaran mengintegrasikan teknologi maklumat dan alat digital akan membantu meningkatkan pencapaian murid dalam pendidikan serta membantu murid membabitkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan aktif.

Kajian membuktikan penggunaan kaedah pembelajaran maya dapat menyumbang kepada perkembangan murid ke arah yang positif.

Oleh yang demikian, peluang mengintegrasikan PdP dan penggunaan teknologi digital perlu diberi perhatian bagi memastikan murid bukan saja aktif, malah dapat meningkat prestasi mereka.

Pennulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi Pedagogi (CPRI), Universiti Pendidikan Sultan Idris

 

Previous Post Next Post