Sepak, pukul rakan asrama, 11 murid direman

Ke semua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi siasatan lanjut. - Foto Astro AWANI

KUALA TERENGGANU: Seramai 11 pelajar sebuah sekolah berasrama di Kuala Nerus ditahan bagi membantu siasatan kes pukul membabitkan seorang pelajar sekolah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata kesemua suspek yang berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada Isnin.


Katanya dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam pada Khamis, suspek dikatakan telah memukul dan menyepak mangsa yang berusia 14 tahun. 


Beliau berkata kejadian menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ringan dan lebam pada bahagian peha kiri dan kanan. 
Abdul Rahim berkata berikutan itu mangsa telah membuat laporan polis pada Ahad kira-kira jam 9.40 malam.


Katanya menerusi laporan itu kesemua suspek telah ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut.


Jelasnya hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham yang menjadi antara punca tercetusnya insiden itu.


Abdul Rahim berkata kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Khamis bagi siasatan lanjut. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

 

Previous Post Next Post