LP masih belum jawab kenapa tak guna set soalan baharu - Pakar


KUALA LUMPUR – Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) didakwa masih belum menjawab persoalan paling asas berhubung penggunaan bahan audio dan kertas soalan ujian mendengar Sijil Pelajaran Malaysia 2021 sesi pertama untuk calon sesi kedua. 

Soalannya ialah mengapa LP tidak menggunakan set soalan baru yang setara indeks kesukaran kepada kumpulan sesi dua. 

“Bukankah sudah menjadi amalan standard yang diterima umum termasuklah di peringkat antarabangsa bagi mana-mana peperiksaan utama (lebih lebih lagi peperiksaan peringkat kebangsaan seperti SPM), apabila berlaku peperiksaan gantian atau penjadualan semula tarikh peperiksaan, maka set soalan baharu akan digunakan?, soal Dr Anuar Ahmad, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Tegas beliau, alasan set soalan adalah ‘soalan tertutup’ tidak boleh digunakan untuk menjustifikasikan soalan yang telah ditadbirkan dalam sesi satu digunakan semula untuk sesi dua. 

Ini kerana soalan yang tertutup tidak bermaksud maklumat/soalan itu terjamin tidak akan terdedah kepada pengetahuan umum. Malah dalam kes ini, maklumat tersebut tersebar secara meluas di media sosial. 

Sebenarnya, keengganan pihak LP menggunakan set soalan baharu sebagaimana amalan biasa telah menjadi punca utama kepada isu ini berlaku, dakwa beliau. 

Anuar berkata, LP sendiri mengakui dan tidak menolak dakwaan umum bahawa telah berlaku penyebaran maklumat peperiksaan tersebut sekurang kurangnya dalam bentuk ‘ringkasan wacana’. 

Ini membawa maksud calon SPM sesi kedua berada di dalam keadaan mempunyai kelebihan berbanding calon kumpulan sesi pertama yang langsung tidak mempunyai apa-apa maklumat walaupun dalam bentuk ‘ringkasan wacana’, sekali gus mewujudkan ketidakadilan kepada calon SPM sesi satu. 

Jelas beliau, situasi ini sesuatu yang tidak boleh diterima jika LP menjunjung tinggi amalan integriti peperiksaan awam dan keadilan untuk semua murid dalam pendidikan. 

”SPM adalah peperiksaan yang besar, penting dan melibatkan jumlah murid yang ramai. Sifat persijilan SPM juga penting untuk masa depan murid. Perbezaan markah walaupun kecil boleh membawa implikasi yang besar pada masa depan calon. 

”Ketidakadilan akibat kelemahan sistem peperiksaan tidak wajar berlaku dan ia telah menimbulkan keraguan masyarakat kepada tahap kebolehpercayaan (realiability) dan kualiti kesahan (validity) sijil SPM yang dikendalikan oleh LP,” tambah beliau lagi. 

Anuar berkata, peristiwa ini sangat dikesali dan telahpun berlaku, bahkan menjadi sejarah hitam kepada sistem peperiksaan awam negara. 

Tetapi, ujar beliau, tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya dan semua pihak terpaksa menerima akibatnya walaupun kecewa dengan cara sistem pendidikan negara yang diuruskan. 

”Kita cuma mengharapkan pada masa depan KPM dan LP dapat melakukan penambahbaikan kepada sistem pentadbiran peperiksaan yang ada, menyegarkan kembali kepercayaan masyarakat khususnya ibubapa terhadap kualiti sistem pendidikan negara khususnya kualiti sistem peperiksaan awam negara,” katanya. 

Mengulas mengenai penjelasan LP berhubung isu tersebut, Anuar berkata, sebenarnya isu ini tidaklah terlalu rumit sehingga LP terpaksa mengambil masa begitu lama untuk mengeluarkan kenyataan rasmi. 

Katanya, sepatutnya, sebagai institusi yang mempunyai kawalan integriti yang tinggi, kenyataan ini boleh dikeluarkan selewatnya 48 jam selepas peperiksaan sesi dua selesai.

– MalaysiaGazette

 

Previous Post Next Post