Uniform putih mudah kotor macam belacan - Ibu


SAUDARA PENGARANG, 

Saya mewakili ibu-ibu ingin mengutarakan cadangan kepada kerajaan negeri yang menguruskan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) . 

Perkara yang telah lama membelenggu kami adalah mengenai pakaian seragam putih iaitu baju Melayu yang dipakai oleh anak-anak setiap hari ke sekolah. 

Tidak terfikirkah pentadbir KAFA untuk menukar pakaian itu kepada warna lain yang lebih praktikal seperti yang berlaku kepada kasut hitam. 

Ibu bapa bukan apa, baju Melayu putih sangat tidak praktikal apabila ia mudah kotor tambahan pula bagi murid-murid sekolah rendah yang agak lasak. 

Bayangkan ke sekolah KAFA yang mana pelajar hanya belajar selama tiga jam, baju putih yang dipakai jadi kotor macam ‘belacan’. 

Lebih-lebih apabila murid terpaksa duduk di atas lantai perhimpunan, tidak sempat belajar lagi seluar di bahagian punggung dan kaki sudah kotor hitam legam. Bahagian lengan apatah lagi. 

Kami berharap uniform baju Melayu putih boleh ditukar kepada warna lain, semoga keluhan ini dibaca oleh pihak berwajib dan boleh memikirkan solusinya. 

IBU MODEN 
ANAK KAFA 
Shah Alam, Selangor

 

Previous Post Next Post