Dipecat selepas diaib, ada yang cuci tandas walau mengandung; guru Kafa mahu saman JAIS

Gags Teacher
0
Muhammad Shauqi Hadi Mohd Ja’ais (kanan) dan Mohd Azli Hudzori, guru Kafa yang ditamatkan kontrak oleh Jabatan Agama Islam Selangor kerana tidak mengambil vaksin Covid-19.


KUALA LUMPUR: Sekumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor melalui pelbagai pengalaman perit – termasuk mencuci tandas sekolah walaupun sarat mengandung – sebelum mereka dibuang kerja atas alasan tidak mengambil vaksin Covid-19, menurut wakil kumpulan itu. 

Muhammad Shauqi Hadi Mohd Ja’ais, 26, yang mendedahkan perkara itu berkata, dia dan 44 guru Kafa terbabit akan mengambil tindakan saman terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad, kerana menamatkan kontrak perkhidmatan mereka berkuat kuasa bulan ini. 

Shauqi selaku jurucakap kumpulan itu menegaskan, tindakan Jais tidak adil kerana soal penerimaan vaksin adalah pilihan peribadi dan bukan diwajibkan bawah mana-mana perundangan atau dijadikan syarat perkhidmatan guru Kafa. 

Mengikut surat penamatan kontrak seorang guru Kafa yang dilihat FMT, Jais berkata khidmatnya ditamatkan bulan ini kerana “gagal membuktikan (dia) telah mendapatkan suntikan imunisasi Covid-19, seperti yang telah diarahkan”. 

Muhammad Shauqi Hadi Mohd Ja’ais, 26, yang mendedahkan perkara itu berkata, dia dan 45 guru Kafa terbabit akan mengambil tindakan saman terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad, kerana menamatkan kontrak perkhidmatan mereka berkuat kuasa bulan ini. 

Surat itu ditandatangani Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jais, Anas Ayob bagi pihak Shahzihan. 

Shauqi berkata, beliau dan rakan sejawatan terkejut menerima surat penamatan perkhidmatan itu pada 9 Mei lalu kerana kontrak mereka adalah hingga 2024. 

“Kami ditamatkan kontrak kerana gagal mengambil suntikan vaksin Covid-19. Untuk makluman, kami ditamatkan kontrak (bulan ini) tapi elaun bulan Mac dan April 2022, masih tidak dibayar hingga sekarang,” katanya kepada FMT. 

Katanya, pemecatan itu lebih sukar diterima apabila mengambil kira layanan pihak sekolah terhadap sesetengah guru Kafa susulan keputusan mereka tidak mahu mengambil vaksin. 

Shauqi berkongsi pengalaman beberapa guru yang dikatakan melalui pelbagai bentuk diskriminasi dan aib, termasuk seorang yang diarah mencuci tandas di sekolah walaupun sarat mengandung. 

“Ada seorang guru diasingkan dan dia sarat mengandung tetapi disuruh mencuci tandas. Mungkin sebab tak ada kerja,” katanya merujuk kepada arahan awal Jais bahawa guru yang enggan divaksin tidak dibenarkan masuk ke kelas. 

“Ada juga guru ditempatkan di bilik panas yang diperbuat daripada zink, macam kontena. Rasa terseksa dengan panas. Ada yang dimalukan dalam kumpulan WhatsApp dan macam-macam diskriminasi lain,” kata Shauqi. 

“Dilayan seperti kucing” 

Mohd Azli Hudzori, 36, yang turut ditamatkan khidmatnya sebagai guru Kafa memberitahu FMT, beliau sendiri pernah “dilayan seperti kucing” oleh pihak sekolah, semata-mata kerana tidak divaksinasi. 

“Waktu itu (saya) nak jumpa guru besar sebab nak selesaikan hal anak murid yang positif Covid. Kita nak tahu prosedur, nak kuarantin ke apa. Tapi waktu itu, tindakan guru penolong kanan untuk memanggil kita (yang tidak divaksinasi) adalah dengan menggunakan rotan dan (di hujungnya) ada loceng berbunyi. 

“(Ketika itu) kita (rasa) macam kucing ke apa? Itu pada pandangan sayalah, sebab yang kenanya saya,” katanya. 

Azli yang sudah berkhidmat selama 15 tahun berkata, elaun sebagai guru Kafa adalah sumber pendapatan utamanya dan rakan sejawatan lain, justeru penamatan kontrak memberi kesan kepada mereka. 

Dalam pada itu, Shauqi turut mendedahkan bahawa kenyataan Shahzihan selaku pengarah Jais pada Mac lalu bahawa 57 guru Kafa digantung tugas dan elaun (gaji) ditahan selama dua bulan kerana tidak divaksin adalah hanya “separuh betul”. 

Beliau berkata, meskipun pengumuman “penggantungan kerja” itu, semua guru Kafa terbabit diwajibkan hadir ke sekolah dan bertugas seperti biasa. Bagaimanapun, elaun mereka tetap ditahan.

“Sepanjang dua bulan itu, kami hadir bertugas, ‘punch’ kad dan buat tugasan selama dua bulan tapi tak ada elaun. Elaun kami ditahan. Bagi saya ini satu penganiayaan dan penindasan kepada kami, sebab nak ke sekolah, nak isi minyak. Nak isi minyak kena pakai duit, tapi elaun ditahan. 

“Ada guru Kafa yang sudah berkeluarga, macam mana mereka nak bagi nafkah kepada anak dan isteri? Macam mana nak bayar komitmen bulanan? Kami amat terkesan,” keluhnya. 

Shauqi berkata, dia dan guru Kafa lain yang diberhentikan tiada pilihan kecuali menyaman Shahzihan demi menuntut keadilan dan pembelaan atas nasib mereka. 

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang dan sudah berjumpa peguam akan mewakili kami yang ditamatkan kontrak. Jadi, kami serahkan semua urusan kepada peguam. Bagi kami penamatan kontrak ini tak mengikut undang-undang,” katanya. 

Bulan lalu, Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin mengumumkan bahawa guru yang tidak divaksin dibenarkan mengajar semula secara bersemuka selepas dilarang berbuat demikian sejak Oktober lepas. 

Bagaimanapun, keputusan itu tidak melibatkan guru Kafa yang berada bawah bidang kuasa jabatan agama Islam di negeri masing-masing.

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)
Demos Buy Now