‘Guru bilik stor’ kembali mengajar seperti biasa

Gags Teacher
0
‘Guru bilik stor’ dibenarkan mengajar dan melaksanakan tugas seperti biasa bermula 9 Mei lalu.

PETALING JAYA: ‘Guru bilik stor’ yang mencuri tumpuan selepas didiskriminasi hanya kerana enggan mengambil vaksin covid-19 atas sebab kesihatan, kini kembali bertugas dan tidak lagi diasingkan. 

Berita gembira itu dikongsi guru berkenaan bersama FMT. 

“Alhamdulillah. Bermula 9 Mei 2022. Saya mendapat arahan supaya melaporkan diri ke sekolah. Saya dibenarkan mengajar dan melaksanakan tugas seperti biasa. 

“Guru terutama kawan baik di sekolah sangat gembira dengan kepulangan saya. Sangat ramai yang datang mengerumuni saya, bertanya khabar,” katanya kepada FMT. 

Sebelum ini, FMT melaporkan guru itu yang sudah 15 tahun berkhidmat mendapat layanan tidak sepatutnya daripada pengetua sekolahnya di Ipoh dan PPD Kinta Utara kerana enggan divaksin. 

Walhal, beliau dibuktikan mempunyai alahan teruk kepada ubat dan makanan serta diberikan surat pengesahan daripada doktor perubatan agar dikecualikan daripada divaksin. 

Akibat tetap enggan divaksin guru itu diasingkan dalam bilik stor pencuci yang diperbuat daripada zink. Kes guru itu tular dan beliau dipindahkan ke Pusat Kegiatan Guru (PKG) PPD Kinta Utara, bermula November 2021 hingga 8 Mei lalu. 

Guru berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu kembali bertugas seperti biasa selepas Kementerian Pendidikan (KPM) menarik balik arahan untuk tidak membenarkan guru yang menolak vaksin, mengajar secara bersemuka. 

“Pelajar sangat okey, seperti tidak ada apa yang berlaku. (Kami) berkomunikasi seperti biasa,” katanya. 

Ditanya bagaimana hubungannya dengan pengetua sekolah, guru berkenaan memberitahu hubungan mereka berlangsung secara profesional. 

“Ikut pada zahirnya, pengetua terima saya seperti biasa. Cuma saya tak pasti perasaan dia di sebalik ‘terpaksa’ menerima saya kembali ke sekolah. Dia terpaksa akur kehendak atasan yang saya perlu kembali ke sekolah. 

“Saya sentiasa bersua dengannya di sekolah dalam keadaan profesional, seolah-olah tiada ada apa berlaku,” katanya. 

Guru itu turut memberitahu, beliau akan berbincang dengan peguam mewakilinya, Tetuan Amin&Co. sama ada akan meneruskan proses perundangan terhadap pengetuanya atau tidak. 

Terdahulu, guru itu menghantar surat tuntutan (letter of demand) kepada pengetua berkenaan selepas melakukan pelbagai diskriminasi terhadapnya.

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)
Demos Buy Now