Kematian doktor pelatih: KKM tubuh pasukan khas bebas - KJ


PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah pasukan khas bebas untuk menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih di Georgetown, Pulau Pinang. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan khas itu juga berfungsi menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan kes tersebut di samping beliau sendiri telah menerima laporan awal daripada ketua jabatan mangsa berkenaan.

“Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih daripada Ketua Jabatan di Pulau Pinang. Polis juga sedang lengkapkan siasatan.

“@KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) akan menubuhkan sebuat taskforce (pasukan khas) bebas untuk siasat kes ini dan budaya buli yang didakwa berlaku,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.

Sebelum ini, seorang doktor pelatih yang menjalani latihan di Hospital Pulau Pinang (HPP) dilaporkan maut terjatuh selepas mayatnya ditemukan di pekarangan bangunan di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Akhbar ini kemudian melaporkan doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) di hospital-hospital kerajaan mengakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan kerana dibuli.

Perkara itu susulan laporan media seorang doktor pelatih lelaki itu meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di Georgetown. – UTUSAN

 

Previous Post Next Post