Maut dilanggar treler selepas pulang dari mengajar

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang pada Isnin.

SABAK BERNAM - Seorang imam masjid yang baharu sahaja selesai mengajar di sebuah maahad tahfiz maut kemalangan apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 64 Jalan Teluk Intan-Klang di sini pada Isnin.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa berusia 32 tahun yang menunggang Yamaha LC maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan mendapati mangsa baru pulang mengajar di sebuah maahad tahfiz di daerah Sabak Bernam dan menuju ke rumahnya di Tanjong Karang.

Beliau berkata, ketika kejadian, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun berhenti di lorong kecemasan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa yang juga imam sebuah masjid di Tanjong Karang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, semasa kejadian pemandu treler dipercayai tidak meletakkan sebarang tanda atau isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Post a Comment

0 Comments