Taman Tema Upin Ipin akan dibina di Cyberjaya - Les' Copaque


Beberapa tahun belakangan ini, Pengarah Urusan, penerbit dan pengasas Les’ Copaque Production, Burhanuddin Md. Radzi telah menyatakan rancangan untuk membina Taman Tema Upin & Ipin.

Nampaknya rancangan itu bakal direalisasikan tidak lama lagi yang mana Cyberjaya dipilih sebagai lokasi terbaik untuk membina taman tema tersebut.

Menerusi perkongsian Burhanuddin Md. Radzi di akaun Facebook miliknya pada 27 Mei, beliau mengatakan pihaknya telah menandatangi perjanjian dengan Cyberview Sdn. Bhd.

“Ya… Kita sudah menemukan lokasi ia akan dibina (Yea…we found the land).

“Hari ini kita telah menandatangani perjanjian dengan Cyberview Sdn. Bhd. untuk membina Taman Tema Upin Ipin di Cyberjaya,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa gambar daripada majlis menandatangani itu.

Jelas Burhanuddin, pihaknya sudah memulakan usaha mencari tapak yang sesuai bagi membina taman tema itu sejak 2014 lagi.

“Dari Selangor hingga ke Perak, dan kemudiannya Johor dan akhirnya Cyberjaya.

Syukur, kini tugas kami adalah untuk meyakinkan pihak Cyberview bahawa kami mampu membina dan mengoperasikan taman tema itu,” kata Burhanuddin lagi.

Memetik perkongsian Cyberjaya Info di Twitter, turut dipaparkan beberapa gambar konsep taman tema tersebut yang bakal menjadi tarikan pelancongan baharu.

Dalam pada itu, perkhabaran ini juga menarik perhatian netizen yang rata-ratanya tidak sabar menantikan pembinaan taman tema animasi popular tanah air.

Selain itu, netizen juga berharap projek taman tema membuahkan hasil dan tidak seperti taman tema MAPS di Perak yang kini sedia untuk dijual.

 

Previous Post Next Post