Vaksin COVID-19: PICKids berakhir hari ini, selepas ini perlu bayar


KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang memberikan vaksinasi secara percuma kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun berakhir hari ini.

Selepas tarikh 31 Mei, kanak-kanak dalam lingkungan usia itu perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan di pasaran swasta secara berbayar.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022, akibat jangkitan COVID-19.

PICKids vaksin COVID-19 sebelum ini sepatutnya tamat pada 15 Mei 2022 tetapi telah dilanjutkan ke 31 Mei 2022.

Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan ia tidak berhasrat untuk melanjutkan lagi tarikh pemberian vaksinasi secara percuma itu.

Ini kerana, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, KKM sudah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Beliau berkata, sekiranya selepas ini ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi anak mereka, mereka perlu ke klinik swasta dengan dikenakan bayaran tertentu.

Sepanjang PICKids berjalan, data oleh KKM memaklumkan Sarawak mencatatkan peratus tertinggi iaitu 87.4 peratus kanak-kanak yang mengambil suntikan vaksin, diikuti Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Labuan.

PICKids bermula pada 2 Februari 2022 dengan 33 peratus golongan itu lengkap divaksinasi hingga 30 Mei.

 

Post a Comment

0 Comments