DLP adalah dasar pendidikan yang sangat salah - Pakar

Imej hiasan

Ahad: Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berpendapat Program Dual Language Programme (DLP) adalah dasar pendidikan yang sangat salah. 

"Ramai pakar pendidikan, kesatuan guru, pakar bahasa dan ahli sains negara yang menegaskan tindakan mengadakan aliran DLP adalah satu kesilapan besar kepada pendidikan anak-anak kita.   

"Baca misalnya kenyataan oleh para saintis tersohor Malaysia https://bit.ly/3b4xVWp dan https://bit.ly/3N61oMW," katanya.

Beliau berkata, DLP dalam jangka panjang akan menyebabkan jurang pendidikan berlaku antara murid. 

"Sepatutnya KPM mansuhkan DLP. Fokus kepada usaha pertingkatkan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di dalam kelas bahasa Inggeris pada SEMUA murid-murid. Bukan hanya untuk murid-murid yang terpilih sahaja," jelasnya lagi.

Beliau turut menyarankan agar guru-guru bahasa Inggeris yang terlatih ditambah di semua sekolah khususnya di luar bandar. 

"Tambah masa pengajaran jika masih tidak mencukupi. 

"Tambah bahan bacaan dan bahan bantuan mengajar untuk meningkatkan bahasa Inggeris pada SEMUA murid-murid," kata beliau lagi.

Beliau berkata sistem pendidikan yang berkualiti sepatutnya merapatkan jurang pendidikan bukannya lebih melebarkan lagi jurang pendidikan antara murid-murid. 

"Dasar pendidikan yang terang-terang salah dan merosakkan masa depan anak-anak kita, tak kan kita masih nak sokong?" tanya beliau mengakhiri penulisan di laman Facebooknya.

Beliau sebelum itu memberi respon kepada satu laporan berita oleh The Star mengenai keperluan guru DLP yang perlu ditambah.

Previous Post Next Post