Kurangkan beban tugas guru, beri latihan intensif laksana PBS

Imej hiasan

Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) menjadi langkah berani Kementerian Pendidikan (KPM) kerana dalam tempoh dua tahun, kementerian memansuhkan dua peperiksaan besar. 

Proses ini dapat dikelaskan sebagai usaha pendidikan negara beralih daripada budaya pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada penilaian lebih holistik terhadap bakat serta kemahiran murid. 

Tindakan sama turut dilakukan Indonesia melalui penghapusan peperiksaan tahunan kebangsaan (UN), digantikan sistem penilaian baharu untuk menjamin penilaian pelajar lebih holistik, termasuk pencapaian kokurikulum. 

Berbeza pula Singapura yang menghapuskan peperiksaan pertengahan tahun semua sekolah rendah dan menengah menjelang tahun depan. Kelonggaran diberikan kepada pihak sekolah melakukan transisi berfasa ke kurikulum baharu. 

Asasnya, tindakan ini dapat mengubah budaya pemikiran daripada pembelajaran berorientasikan peperiksaan kepada pembelajaran lebih menyeluruh, dinamik dan holistik, selaras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). 

Lantaran itu, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) lebih holistik dan komprehensif kerana merangkumi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). 

Kepelbagaian potensi, bakat dan kebolehan murid akan diraikan, misalnya individu mempunyai daya kreatif tinggi dapat diasah untuk menyertai pertandingan inovasi, manakala pelajar mahir berkarya dapat diketengahkan untuk pertandingan kesenian. 

Fokus pembelajaran di sekolah juga akan berubah daripada mempelajari format menjawab soalan dan persediaan peperiksaan kepada penghayatan kandungan pembelajaran itu sendiri. Budaya menghafal buku teks dan jawapan dapat ditinggalkan. Meskipun PT3 dimansuhkan, sistem penilaian masih berjalan, tetapi dengan lebih banyak kepelbagaian dan fleksibiliti kaedah penilaian. 

Bagaimanapun, di sebalik kelebihan PBS, beberapa perkara perlu ditambah baik bagi menjamin objektifnya dapat dicapai. Pertama, pemantapan latihan pengendalian PBS kepada guru. Keputusan pelaksanaan PBS dan pemansuhan PT3 dijadualkan September ini terlalu singkat tempoh pemakluman dan menyebabkan guru tidak dapat melakukan persiapan mencukupi untuk mengubah rancangan pembelajaran. 

Latihan penilaian PBS lebih intensif perlu dijalankan KPM, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam tempoh terdekat untuk mempersiapkan guru dengan penguasaan, pengetahuan dan kemahiran mencukupi. 

Kegagalan dalam menyediakan latihan ini menyebabkan guru tidak bersedia dan tidak yakin menerapkan PBS dalam amalan pengajaran, sebaliknya kekal dengan amalan pengajaran semasa yang lebih selesa berbanding menukar kepada elemen baharu. 

Beban tugas guru juga perlu diambil kira kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan hampir 40 murid dalam satu kelas sedangkan bilangan itu terlalu ramai, sekali gus dapat menjejaskan keberkesanan pelaksanaan PBS kerana proses penilaiannya bersifat individu, berbanding pentaksiran pukal. 

Guru juga terpaksa melakukan tugas pengkeranian yang mengganggu fokus guru. KPM perlu memandang serius mengenai isu beban tugas guru dan menyediakan pembantu guru untuk penilaian PBS bagi kelas besar dan staf sokongan untuk tugasan selain mengajar, manakala sistem pengurusan markah secara dalam talian wajar ditambah baik. 

Lebih mendukacitakan, apabila guru ditekan untuk menghabiskan sukatan pembelajaran, di samping menjalankan pelbagai bentuk pentaksiran kepada pelajar. Had masa antara kekangan utama guru dalam menjalankan aktiviti kreatif dan inovatif. 

Berbanding Hong Kong dan Finland yang juga menjalankan PBS, negara itu memberikan kebebasan kepada guru untuk menentukan kurikulum sendiri agar sesuai dengan penilaian dijalankan. 

Malaysia belum bersedia memberi kebebasan sepenuhnya, tetapi sukatan pembelajaran wajar disemak semula KPM agar lebih sesuai dengan keperluan penilaian PBS. 

Kefahaman komuniti, terutama ibu bapa mengenai PBS juga perlu diperkasakan. Sebagai pemegang taruh utama sistem pendidikan negara, sokongan dan bantuan mereka amat diperlukan dalam menjamin kelancaran pelaksanaan PBS. 

Oleh itu, PBS jika dilaksanakan dengan betul, dapat menyediakan murid untuk masa hadapan tidak menentu melalui penilaian lebih holistik dan tidak terikat skema jawapan dengan murid dapat menjadi lebih kreatif, inovatif, dan memahami keupayaan diri. 

Penulis adalah EXCO Perhubungan Luar dan Antarabangsaa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM)

 

Post a Comment

0 Comments