Kegagalan guru memahami polisi PBS akan menyebabkan pelaksanaanya gagal


KUANTAN: Para guru perlu memahami 100 peratus polisi Pen­taksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta sanggup berubah dari pentaksiran cara lama kepada baharu. 

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan PBS tidak dilaksanakan dengan betul yang akan memberi kesan kepada penilaian tahap penguasaan pelajar dan akhirnya para guru akan lebih cenderung melaksanakan pentaksiran berdasarkan cara lama. 

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, para guru juga perlu menerima polisi baharu ini dengan hati terbuka serta ikhlas melaksanakannya bagi menjamin pengembangan pembelajaran pelajar baik tanpa tekanan kepada peperiksaan. 

“Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah perlu menjadikan PBS fokus utama mereka semasa mesyuarat dan gerak kerja membimbing pentadbir sekolah serta guru-guru dalam kelas. 

“Mereka perlu mengamalkan tindakan pembetulan dan tindakan pencegahan serta merta bagi menjamin kualiti pelaksanaan PBS di sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kelmarin, kerajaan mengumumkan Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini dan penilaian murid akan dibuat menerusi PBS. 

PBS akan melibatkan bukan sahaja pelajar sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3 tetapi juga bagi murid-murid sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6. 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada libat urus pelbagai pihak termasuk ibu bapa dan guru berhubung penilaian ke atas pelajar susulan pemansuhan PT3. 

Menurut beliau, PBS akan dimulakan tahun ini dengan pelajar dan murid akan dinilai menerusi Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) selain Pentaksiran Psikometrik (PPsi). 

Mengulas lanjut, Jasni berkata, banyak isu dan persoalan yang perlu dirungkaikan daripada segi pelaksanaan PBS oleh Kementerian Pendidikan. 

“Bagi merealisasikan polisi Kementerian Pendidikan ini, Kongres berharap satu penataran yang teliti dan jelas perlu diberi kepada warga pendidik sama ada yang berada dalam bidang pentadbiran dan dalam kelas,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post