Soalan tidak berasas ibu bapa buat ‘Group WhatsApp’ sekolah serabut - Bapa Pening


SAUDARA PENGARANG, 

KEMAJUAN teknologi ketika ini sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi kerana mampu melancarkan kehidupan harian dan mempercepatkan setiap pekerjaan kita. 

Tidak ketinggalan juga dalam sistem pendidikan ketika ini. Kemudahan-kemudahan teknologi yang disediakan pihak kementerian juga haruslah dipuji. 

Perhubungan pihak sekolah terutamanya guru-guru dengan ibu bapa pelajar juga semakin mudah dan cepat dengan adanya teknologi telefon pintar. 

Apa sahaja kemas kini maklumat serta pesanan dari guru kepada ibu bapa hanya dilakukan di hujung jari termasuk melalui aplikasi WhatsApp. 

‘Group WhatsApp’ yang dibentuk melibatkan guru dan ibu bapa ternyata memudahkan untuk memberi maklumat, sebagai pesanan membawa buku, baju serta apa sahaja maklumat dari pihak sekolah. 

Namun, yang menjadi permasalahan adalah berkenaan pertanyaan daripada ibu bapa yang dianggap tidak berasas. 

Saya sebagai ibu bapa yang turut berada dalam beberapa ‘Group WhatsApp’ sekolah cukup pening dengan pertanyaan serta perkongsian dari ibu bapa yang langsung tidak kena dan dikongsi dengan mudah dalam ‘Group WhatsApp’ tersebut. 

Ada ibu bapa bertanya di mana stoking anak, pensel hilang serta ada juga yang tanya berkenaan baju sekolah anak yang kotor. Semua ini rasanya tidak perlu diungkitkan. 

Bukan itu sahaja, ada juga yang kongsi maklumat yang tidak benar sehingga menjadi pendebatan dalam ‘Group WhatsApp’ terlibat. 

BAPA PENING MACHANG

 

Previous Post Next Post