Hala tuju pendidikan selepas pemansuhan PT3


SEJARAHNYA, sebaik sahaja merdeka pada 1957, negara kita mula memperkenalkan peperiksaan tingkatan tiga iaitu Lower Certificate of Education (LCE) yang diselia oleh Universiti Cambridge.

Pada 1985, amalan LCE digantikan sepenuhnya dengan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Seterusnya pada 1993, Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula menggantikan sistem SRP. 

Mulai 2011, Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan pula konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan menggunakan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi menggantikan PMR. 

Kemudian pada 2016, KPM menambah baik konsep PBS dengan melaksanakan sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), PAJSK dan PSi. Pada masa sama masih mengekal Pentaksiran Pusat (PS) dengan melaksanakan PT3.

Pada 2020, KPM mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan UPSR dan PT3 akibat penularan pandemik Covid-19. Pada 2021, KPM bersetuju memansuhkan UPSR dan terkini pada Jun 2022, pelaksanaan PT3 pula dimansuhkan untuk sistem pendidikan negara memberi tumpuan kepada pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Perkembangan ini memberikan beberapa impak kepada anak kita semua. Pertama, KPM melakukan keputusan besar dan berani dengan memansuhkan UPSR dan PT3 bagi memperkasa sistem pentaksiran murid yang berasaskan sekolah. 

Sebelum ini kita mempunyai tiga peperiksaan berpusat iaitu UPSR, PT3 dan SPM. Kini hanya tinggal SPM yang masih kekal sebagai peperiksaan berpusat yang diuruskan sepenuhnya oleh KPM. Sementara UPSR dan PT3 dimansuhkan sepenuhnya dan digantikan dengan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah. 

Ini satu anjakan baru kepada sistem pendidikan negara yang semakin jelas cuba untuk memperkasakan pihak sekolah dan guru-guru. Sebagaimana yang kita tahu, guru-guru adalah kumpulan paling hampir dan mengenali rapat murid-murid.

Seharusnya guru diberikan kepercayaan untuk melakukan penilaian dan pentaksiran kemajuan pendidikan muri-murid di bawah tanggungjawabnya. 

Oleh itu, menekankan pentaksiran berasaskan bilik darjah adalah sesuatu yang wajar dan sesuai dengan keperluan dan keadaan semasa di dalam pendidikan.

Melalui pentaksiran bilik darjah, guru-guru berpeluang melakukan pemulihan pembelajaran serta memberikan maklum balas kepada ibu bapa berkaitan perkembangan dan kemajuan anak-anak dalam pembelajaran di sekolah. 

Bagaimanapun, pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) dan pentaksiran berasaskan bilik darjah (PBD) mempunyai cabarannya tersendiri. 

Sebagai contoh, untuk menjayakan pentaksiran bilik darjah yang berkualiti dan berkesan, bilangan murid di dalam sesebuah bilik darjah yang sesuai adalah antara 20 hingga 25 murid bagi seorang guru.

Jumlah murid yang terlalu ramai misalnya 35 hingga 40 murid bagi setiap guru akan menyukarkan guru melakukan pemerhatian dan pemantauan kemajuan murid seperti yang ditetapkan di dalam laporan tahap penguasaan murid.

Impak kedua pelaksanaan PBS dan PBD adalah menyelesaikan kekangan silibus yang padat. Asas kejayaan PBS dan PBD adalah bergantung kepada kualiti aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan. Murid-murid memerlukan masa untuk menunjukkan kemajuan pembelajaran mereka dengan melakukan secara aktiviti pembelajaran.

Jika silibus terlalu padat dan banyak, guru-guru tiada keupayaan merangka banyak aktiviti pembelajaran untuk murid-murid. Apabila kurang aktiviti pembelajaran maka pemerhatian dan pemantauan guru tidak dapat dilakukan untuk melihat keupayaan sebenar murid-murid.

Oleh itu, bagi menjayakan pelaksanaan PBS dan juga PBD, silibus mestilah dijajarkan semula dan jika ada keperluan mestilah dikurangkan untuk memberikan lebih peluang kepada pengayaan pembelajaran melalui aktivitiaktiviti yang telah dirancang oleh para guru.

Amalan PBS dan PBD juga sangat dipengaruhi oleh keupayaan guru atas tiga perkara. Pertama, sejauh mana tahap penguasaan guru terhadap isi kandungan pengajaran. Kedua, tahap keupayaan guru mengenali dan memahami kepelbagaian keupayaan murid-murid dan ketiga, keupayaan guru melakukan pentaksiran yang berkesan.

Apabila Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memberikan komitmen untuk KPM meningkatkan kemahiran dan pengetahuan para guru, ini bermaksud aspek pemilihan guru mengikut opsyen mestilah diberikan keutamaan. Guru opsyen adalah mereka yang telah melalui latihan ikhtisas pendidikan dan mempunyai kelayakan keguruan untuk dilantik sebagai guru.

Pemansuhan PT3 adalah adalah tindakan yang selari dengan keperluan semasa dalam pendidikan. Malah, amalan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah yang sedang dilakukan oleh negara kita sebenarnya telah lama dilaksanakan di negara maju.

Ibu bapa dan masyarakat juga perlu memahami bahawa tujuan pemansuhan ini sebenarnya akan meningkatkan lagi fokus pendidikan kepada menggalakkan aktiviti pembelajaran dan tidak hanya kepada peperiksaan berpusat semata-mata.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Previous Post Next Post