KPM perlu semak semula kurikulum sukar, membebankan -PAGE

Datin Noor Azimah Abdul Rahim


PETALING JAYA: Semakan semula kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu dilakukan segera bagi mengelakkan sistem pendidikan negara daripada ketinggalan zaman, namun perubahan itu tidak boleh membebankan pelajar. 

Ini seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memperuntukkan pelaksanaan kurikulum baharu dan kurikulum semakan semula dalam tempoh antara 2016 dan 2025. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim menyifatkan, pelan itu seharusnya menjadi asas bagi sebarang semakan semula kurikulum sekolah. 

“Apabila ada sukatan pelajaran yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan dalam pelan tersebut, maka, ini perlu disemak dan diperbaharui semula. 

“Ini kerana, pembaharuan dalam sukatan pelajaran lama adalah usaha berterusan supaya ia selaras dengan peredaran zaman. Contohnya perubahan iklim, kemampanan (sustainability) dan pendidikan digital adalah trend baharu yang perlu diperkenalkan dan dipertingkatkan,” katanya ketika dihubungi. 

Malah, katanya, semakan itu perlu melibatkan peranan guru yang turut terkesan dengan sebarang kurikulum baharu. 

“Guru perlu dilatih atau dilatih semula agar perubahan dalam sukatan pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan. 

“Intervensi (pembaharuan) yang dilaksanakan hendaklah dipatuhi dengan teratur supaya sebarang kelemahan ditangani dan diperbetulkan tanpa berlengah-lengah,” katanya. 

Beliau mengulas kenyataan Datuk Dr. Radzi Jidin yang memaklumkan bahawa pusingan pertama semakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan lengkap pada tahun ini, manakala Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSR) lengkap pada tahun lalu. 

Semakan itu antara lain adalah bagi menilai sama ada sukatan mata pelajaran ketika ini terlalu sukar atau pelajar tidak biasa dengan aras kesukaran berkenaan. 

Bagaimanapun, Noor Azimah berpendapat, mata pelajaran berteraskan sains perlu dikemas kini bagi mencerminkan kemajuan pesat teknologi ketika ini. 

“Perubahan saintifik dan digital yang pantas dalam bahasa Inggeris perlu diterima pakai segera kerana ia menjadi ketinggalan zaman dengan cepat. Program dwibahasa (DLP) yang membolehkan perkara ini berlaku,” katanya. 

Dalam pelan tersebut, Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa kurikulum baharu akan menggunakan jumlah jam dalam tahun persekolahan sebagai titik permulaan dan mengeluarkan kandungan dan kemahiran yang bukan menjadi keutamaan bagi mengelakkan kepadatan kurikulum. 

Selain itu, kemahiran dan kompetensi dalam persekitaran globalisasi masa kini akan diserapkan sepenuhnya dalam kurikulum, sebagai contoh, penekanan berterusan ke atas pengajaran amali sains dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Pelan itu juga memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan akan meminda peraturan sedia ada bagi memberikan kelonggaran kepada sekolah dalam menyusun jadual waktu persekolahan selagi sekolah dapat menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum. –UTUSAN ONLINE

 

Previous Post Next Post