Projek tak siap, pensyarah didakwa salah guna dana projek penyelidikan

KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pensyarah kanan universiti tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan dana projek penyelidikan bernilai RM42,100. 

Tertuduh, Dr Mohamad Zulkefli Adam, 56, didakwa memalsukan invois bernilai RM10,100 pada 11 Ogos 2017 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dengan lima pertuduhan yang membawa hukuman enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebat dan denda bagi setiap pertuduhan.

Kertas pendakwaan dibacakan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir di dua mahkamah berlainan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 9, Azura Alwi dan Hakim Mahkamah Sesyen 14, Suzana Hussain.

Sementara itu, tertuduh diwakili Mazlan Mohd Zain.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh sebagai Ketua Projek Research-Based Foundation For Sustainable Agriculture Entrepreneurship (Smart Rural) didakwa sebagai tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu mengeluarkan wang masing-masing bernilai RM3,000 milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Maybank Berhad cawangan Jalan Raja Muda di sini, di sini, pada 3 dan 4 September serta 13 dan 26 Oktober 2017.

Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang bernilai RM20,000 di lokasi sama pada 7 September 2017.

Tertuduh yang memakai kemeja biru tua mengangguk faham ketika pendakwaan dibacakan dan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Bagi pendakwaan Seksyen 471, Azura memutuskan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta diarah melaporkan diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Sementara itu, bagi pendakwaan mengikut Seksyen 403 pula tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan sama.

Sebutan semula semua kes dan serahan dokumen pada 11 Ogos depan.

Terdahulu tertuduh yang juga Ketua Projek Penternakan Ayam Pedaging iaitu projek usahasama Smart Rural dengan Ketengah ditahan pada 22 Mei lalu atas dakwaan membelanjakan 93.74 peratus daripada RM600,000 peruntukan sedangkan sebahagian besar projek itu tidak diselesaikan.
Previous Post Next Post