KPM sedia kertas kerja tingkat keupayaan internet di sekolah - Radzi


Lahad Datu: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiapkan satu kertas kerja untuk dibentangkan pada mesyuarat Kabinet berkaitan keperluan meningkatkan kemudahan internet di semua sekolah di ne gara ini, supaya selari dengan pelaksanaan pendigitalan pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata proses penyediaan kertas kerja itu kini di peringkat akhir yang turut membabitkan pandangan semua pihak dalam kementerian.

"Kita mahu melaksanakan satu rangkaian internet di sekolah yang lebih meluas, berbanding sekarang yang hanya ada di tiga tempat iaitu bilik sekolah, pusat sumber dan pejabat sekolah.

"Jika bercakap mengenai pendigitalan pendidikan, perkara paling penting adalah untuk memastikan akses internet sekolah lebih meluas khususnya dalam kawasan bilik darjah, asrama dan seluruh sekolah," katanya selepas majlis pelancaran FELDA Digital Maker Hub- Coding and Robotic (FDMH) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sahabat 4, FELDA Sahabat dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh.

Radzi berkata, proses menaik taraf internet membabitkan lebih 10,000 sekolah di negara ini memerlukan perbelanjaan bernilai berbilion ringgit.

Ketika berucap, beliau memuji usaha dan komitmen FELDA mewujudkan landskap pendidikan digital di luar bandar dengan pelaksanaan FDMH di 19 SK di kawasan FELDA setakat ini dan memberi manfaat 3,483 murid sekolah.

"Dalam tempoh dua tahun setengah ini, saya harap semua 270 sekolah di FELDA terbabit FDMH," katanya.

Sementara itu, Idris berkata, pelaksanaan inisiatif FDMH membabitkan kos RM4.05 juta yang akan diperoleh melalui kaedah penajaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi menyemarakkan pembabitan komuniti dalam pendidikan generasi baharu FELDA.

"Penajaan ini bagi menyediakan kelengkapan asas robotik dengan kos RM15,000 bagi sebuah sekolah.

"Inisiatif ini menjadi sebahagian aktiviti kokurikulum akan dijalankan melalui kelab robotik sekolah dan mampu menjadi platform meningkatkan kecemerlangan murid," katanya.

BERNAMA

Previous Post Next Post