Penjajaran kurikulum wajib dilaksanakan apabila kaedah pentaksiran berubah

Memansuhkan peperiksaan bukanlah bermaksud memansuhkan seluruh sistem penilaian murid-murid. Penilaian masih ada.


Malah kita sebenarnya akan mula melaksanakan penilaian yang lebih menyeluruh (PBS) melebihi dari sekadar amalan peperiksaan sahaja. 

Pentaksiran PBS pasti akan meningkatkan berkali ganda beban guru dan murid-murid. 

Sebab itu, apabila keputusan KPM untuk memansuhkan UPSR dan PT3 dilakukan, ia seharusnya diimbangi dengan penjajaran semula silibus yang sebelum ini disediakan untuk tujuan peperiksaan semata-mata. 

Dulu, digubal silibus yang padat dan berat kerana sistem pendidikan hanya mengukur keupayaan akademik murid. Tumpuan hanya pada peperiksaan sahaja. 

Ketika itu, bilangan A dalam peperiksaan akan menjadi ukuran kecemerlangan murid. Maka, telah diperbanyakkan isikandungan silibus supaya memberikan cabaran kognitif kepada murid-murid. 

Bila peperiksaan UPSR dan PT3 telah dimansuhkan, diganti dengan PBS (di dalamnya ada PAJSK, PPsi dan PBD) maka, pemberat silibus untuk tujuan penilaian juga sepatutnya berubah. 

Sekarang aktiviti luar kelas murid-murid juga semakin bertambah untuk tujuan pentaksiran PAJSK. 

Jika silibus mata pelajaran masih seperti dahulu dan tak berubah tetapi amalan pentaksiran pula telah dipelbagaikan (PBD, PAJSK, PPsi dan peperiksaan akhir tahun) bayangkan beban guru dan murid-murid. 

 Penjajaran semula kurikulum dan semakan silibus memang WAJIB dilakukan apabila sistem pentaksiran telah berubah. 

 Kalau tidak, percayalah akan banyak isu pengajaran dan pembelajaran timbul nanti. Guru-guru pasti akan 'burnout', murid-murid pula pasti akan keciciran (drop out)'.

Dr Anuar Ahmad, 
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Previous Post Next Post