Relevan lagikah gred guru-guru di sekolah rendah?


Seperti mana yang sedia sedia maklum, gred hakiki guru-guru di sekolah rendah adalah DG29 dan DG41/42 bagi guru biasa manakala pentadbir pula adalah gred DG32. 

Kepada yang memerlukan kefahaman lanjut berkaitan gred hakiki dan KUP, boleh rujuk SINI.

Berdasarkan perkembangan semasa, hampir 95 peratus guru-guru di sekolah rendah sekarang memiliki ijazah yang setara dengan guru-guru di sekolah menengah. Di sekolah menengah, gred hakiki guru-gurunya terdapat pelbagai lapisan dan boleh mencecah sehingga Gred C bagi laluan cemerlang.

Oleh yang demikian, adakah gred hakiki sekolah rendah pada masa kini masih lagi relevan dengan kelayakan yang dimiliki oleh guru-gurunya?


Persoalan ini pernah dibangkitkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi pada tahun 2017 setelah didesak oleh Majlis Guru Besar (MGB) negeri Perak dan cuba membawanya ke parlimen. Namun perkara tersebut terkubur tanpa apa-apa perkembangan setelah kerajaan bertukar tangan. Boleh rujuk SINI.


Pada tahun 2019, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Amin bin Senin pula menyuarakan semula perkara ini di dalam Konvensyen Pendidikan kebangsaan Kali Ke-25 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan kali Ke-37 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMBGM) 

Beliau berkata menjadi hasrat beliau untuk melihat gred jawatan berkenaan dapat dinaikkan dari gred DG34 ke gred DG48. 

“Memang sudah tiba masanya untuk kita lihat semula gred hakiki jawatan guru besar itu dan ia perlu kita angkat selaras dengan usaha terdahulu menjadikan jawatan-jawatan guru di sekolah rendah ialah guru lepasan ijazah. 

“Jadi pada ketika ini ‘logical move’ yang betul untuk mengangkat gred hakiki guru besar. Walaupun pada ketika ini ada guru besar yang sudah menduduki gred DG48 berdasarkan ‘time based - personal to holder’,” katanya. 

Namun, setelah beliau bersara wajib, perkara tersebut kembali sejuk dan tiada apa-apa perkembangan yang berlaku.

Pada tahun 2020, sekali lagi isu ini dibangkit di parlimen, oleh mantan Timbalan Menteri Pendidikan pada ketika itu Muslimin Yahaya yang berkata kertas cadangan mengenai perkara itu sudah dihantar kepada pihak yang berkaitan di agensi pusat. 

Katanya, ia adalah satu keperluan selepas mengambil kira pelaksanaan Dasar Pensiswazahan Guru dan perubahan skim pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) sebagai Skim Perkhidmatan Bersepadu. 

Katanya, jawatan guru besar adalah pentadbir sekolah rendah, dibantu tiga atau lebih guru penolong kanan yang dilantik dalam kalangan PPP pada gred hakiki DG32 hingga DG40, mengikut gred serta kategori sekolah.

Beliau menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahu kementerian menyatakan perancangan terkini bagi memantapkan gred hakiki perjawatan guru besar dan guru penolong kanan sekolah kebangsaan seluruh negara.

Dan setelah kerajaan bertukar, isu tersebut juga terkubur tanpa apa-apa perkembangan.

Dan kini, salah seorang bekas guru besar cemerlang, yang kini bertugas di salah satu bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia meluahkan rasa hati melalui laman Facebook beliau.

Tiba-tiba aku termenung mengenangkan nasib Guru Besar di SK/SJK yang hanya paling tinggi di Gred Hakiki DG38 Cemerlang dan DG48 KUP. 
Itu belum lagi mengenang nasib rakan-rakan Guru Cemerlang di SK/SJK yang paling tinggi pun di Gred DG48 sedangkan mereka yang di SMK ada yang dah berada di Gred Khas C. 
Beban tugas lain ke apa ni? Moga dipermudahkan urusan semuanya dan dapatlah ia diselesaikan.




Persoalannya, sampai bilakah penstrukturan gred di sekolah rendah ini akan kekal. Apakah langkah KPM untuk memperbaiki penstrukturan ini yang secara tidak langsung meletakkan sesuatu yang sepatutnya di tempat yg betul.

Post a Comment

0 Comments