648 guru di Melaka alami tekanan, kemurungan

Imej hiasan

AYER KEROH: Seramai 648 daripada 13,976 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan ketika berkhidmat menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dimaklumkan, keadaan itu dikesan selepas golongan terbabit menjawab saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS), yang diambil secara sukarela melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling (e2PK) Kementerian Pendidikan.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata saringan yang dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Pendidikan negeri bertujuan mengukur tahap tekanan dan kemurungan dalam kalangan guru di negeri itu.

Beliau berkata, susulan itu, beberapa tindakan diambil untuk memulihkan keadaan itu seperti kaunseling dan melaksanakan Program Meningkatkan Kesedaran Kesejahteraan Psikologi Guru #3A (sedar dan peka tindak) kepada semua warga Jabatan Pendidikan negeri.

"Turut dilaksanakan adalah Program Pemulihan, Pencegahan, Pembangunan dan Intervensi (3PI), antaranya Program Literasi Kewangan, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Program Pementoran, Program Mutiara (prestasi sederhana dan rendah) dan Intervensi Guru Positif COVID-19," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau), mengenai punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di Melaka.

Sementara itu, ketika menjawab soalan lisan Seah Shoo Chin (DAP-Kesidang) mengenai peruntukan untuk menaik taraf dan pembaikan sekolah di Melaka, Dr Muhamad Akmal berkata, sekolah baharu akan dibina jika sekolah sedia ada sudah mencapai bilangan bilik darjah fizikal 36 bagi sekolah rendah dan 42 bilik darjah bagi sekolah menengah.

Katanya, langkah yang sama juga akan dilaksanakan jika sekolah sedia ada tidak ada lagi kawasan untuk pembinaan bangunan baharu.

"Kementerian Pendidikan hanya memberi fokus kepada pembinaan sekolah kerajaan sahaja.

"Mengikut rekod, permohonan projek baharu yang akan diangkat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) adalah Pusat Tingkatan Enam di Bachang, Serkam dan Ayer Limau, diikuti menaik taraf bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai serta menaik taraf bangunan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin.

"Turut diberi tumpuan, bangunan tambahan enam bilik darjah dan lain-lain kemudahan di SK Kampung Tengah, pembinaan bangunan baharu 24 bilik darjah dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Berendam, pembinaan bangunan tambahan 12 bilik darjah di SK Telok Berembang, pembinaan padang permainan SK Air Baruk, SK Batu Berendam dan SK Ayer Molek," katanya.

Previous Post Next Post