Kenaikan kadar RMT terserah kepada Kementerian Kewangan - Radzi Jidin

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin bersama pelajar sekolah terpilih dari Putrajaya ketika program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara.

KUALA LUMPUR: Input dan cadangan kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2023.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata pelbagai aspek perlu diberi keutamaan oleh kementerian untuk dianalisis mengambil kira kenaikan kos bagi membuat pertimbangan sebelum ketetapan dibuat.

Justeru, beliau berkata segala penelitian secara mendalam perlu dibuat supaya sama ada kenaikan kos untuk RMT boleh dilaksanakan atau sebaliknya.

"Kita perlu ingat bila bercakap tentang kewangan atau peruntukkan...kita berbincang dan cadangkan kepada Kementerian Kewangan. Tetapi yang paling penting setelah dianalisis, semua aspek perkara berkaitan, kita amat melihat perkara ini perlu diberi keutamaan.

"Sekarang, kita sedang sediakan kertas untuk tujuan ini (kenaikan kos RMT) ini di peringkat akhir. Apa paling penting kita semua kena sedar yang kita memang beri perhatian tentang perkara ini.

"Perkara ini kita sedang pertimbangkan dengan Kementerian Kewangan untuk dalam konteks Belanjawan 2023 dan kita sedang bincang untuk siapkan kertas dan dibawa ke Kabinet.

"Banyak sebenarnya penambahbaikan, namun kita sedar cabaran di luar tentang kenaikan kos dan perkara ini kita ambil dalam pertimbangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program rintis Ekplorasi Alam Lestari di Zoo Negara di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad (FGV), Mohd Nazrul Izam Mansor.

Program rintis anjuran FGV dengan kerjasama Yayasan Didik Negeri (YDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) memfokuskan aktiviti mengumpul dana bagi memantapkan ekossitem pendidikan negara.

Memberi contoh peruntukan susu dalam program RMT, Radzi berkata, kos untuk tujuan itu meningkat setiap tahun mengambil kira kekerapan pelaksanaannya.

Jelasnya, pada tahun lepas, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk penyediaan susu dua hari seminggu dan untuk meningkatkannya kepada lima hari seminggu, kosnya meningkatkan kepada RM185 juta.

"Berkaitan dengan perkara ini kena lihat konteks lebih besar. Bercakap mengenai makanan bukan hanya RMT. Justeru, apa pendekatan yang perlu diambil.

"Kita kena teliti dengan terperinci. Penelitian mendalam memang kena ada supaya boleh dilaksanakan. Ramai kata kita tak ambil tahu. Bukan kita tak ambil tahu mengenai RMT tetapi sebenarnya telah, sedang dan akan kita laksanakan.

"Berkaitan kos RMT yang terlalu rendah, ini pun kita telah, sedang dan akan terus bincang dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan kita ambil kira semua aspek sebelum sebarang pertimbangan dibuat oleh Kementerian Kewangan," jelasnya.

Mengenai pengusaha kantin yang enggan menyediakan menu RMT susulan terpaksa menanggung kenaikan kos barangan, Radzi berkata, meskipun pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung ada yang tidak berpuas hati, beliau menyarankan pihak berkenaan supaya membuat aduan kepada kementeriannya.

Selepas itu, katanya, barulah kementerian boleh lihat bentuk pendekatan apakah yang sesuai bagi menangani isu yang timbul dalam kalangan pengusaha kantin sekolah.

"Yang ini kita setakat ini tak dapat sebarang laporan (enggan menyertai program RMT). Kita akan tengok dulu berapa ramai tak boleh buat.

Saya tak nak begitu begini. Apa pun boleh maklum kepada kementerian untuk kita lihat apakah pendekatan yang sesuai," katanya.

Post a Comment

0 Comments