Pengusaha kantin sekolah tidak wajib kendali RMT


KUALA LUMPUR: Tiada peruntukan khusus yang mewajibkan mana-mana pengusaha kantin sekolah untuk menyertai program Rancangan Makanan Tambahan (RMT). 

Pengusaha kantin sebaliknya hanyalah pilihan utama sebagai pelaksana RMT dan sentiasa terbuka untuk menolak daripada melaksanakan program berkenaan, mengikut kesediaan serta kemampuan mereka. 

Pentadbiran sekolah boleh melantik pihak lain bagi mengendalikan RMT, jika pengusaha kantin di sekolah terbabit enggan menyertai program itu. 

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa, berkata kontrak pembekalan RMT serta tender kantin sekolah adalah dua perjanjian berbeza dan boleh membabitkan dua penerima tender yang berbeza. 

"Tempoh perjanjian RMT adalah selama setahun, manakala tender kantin sekolah berkuat kuasa selama dua tahun dan pengusaha boleh ditawarkan lanjutan setahun, jika prestasinya memuaskan. 

"Pentadbiran sekolah memang tidak boleh mewajibkan pengusaha kantin membekalkan RMT, jika pengendali enggan berbuat demikian dan mereka perlu melantik pihak luar untuk meneruskan pelaksanaan program berkenaan. 

"Kita memang terima aduan berkaitan ramai pengusaha kantin sekolah enggan mengendalikan RMT ekoran kekangan kewangan, kelewatan menerima bayaran dan kadarnya yang dianggap tidak munasabah. 

"Kes seperti ini (pengusaha kantin enggan mengendalikan RMT) sebenarnya agak banyak ,cuma aduan secara formal tidak sampai kepada pengetahuan pihak persatuan," katanya kepada BH. 

Beliau mengulas kenyataan sebilangan pengusaha kantin sekolah di Sarawak yang enggan memperbaharui kontrak pembekalan RMT jika kadar sekarang tidak dinaikkan seiring lonjakan harga barangan ketika ini. 

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan dilapor mencadangkan kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung, manakala RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan. 

Menterinya, Khairy Jamaluddin, dilapor berkata peruntukan sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu RM2.50 bagi murid di Semenanjung manakala RM3 di Sabah, Sarawak dan Labuan, tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kos bahan mentah mengikut menu RMT. 

Sementara itu, Siti Normah berkata, pihaknya ada menerima aduan membabitkan pentadbiran sekolah yang menawarkan kontrak RMT bernilai RM4 seorang kepada pengendali RMT yang bukan terdiri daripada pengusaha kantin. 

"Pihak sekolah terpaksa menaikkan kadar RMT yang ditawarkan kepada pihak ketiga untuk menarik minat mereka mengendalikan program berkenaan selepas pengusaha kantin di sekolah terbabit enggan berbuat demikian. 

"Kadar berkenaan hanya boleh berlaku apabila pihak sekolah mengurangkan bilangan penerima RMT untuk mengimbangi kos yang perlu ditanggung pengusaha terbabit. 

"Bagaimanapun, pihak berkenaan masih enggan menerima kontrak dengan alasan kadar ditawarkan terlalu rendah, menyebabkan saya terpaksa memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah berkenaan," katanya. 

Dalam pada itu, katanya, beliau juga pernah menerima aduan membabitkan pengusaha gagal melanjutkan tempoh tender kantin sekolah berikutan enggan membekalkan RMT kepada penerima di sekolah terbabit. 

"Keadaan sedemikian sering berlaku kerana ada pentadbiran sekolah yang enggan pening kepala untuk melantik pihak berasingan mengendalikan RMT. 

"Pengusaha kantin sekolah sentiasa melihat RMT ini sebagai bonus kepada kami dan jarang akan menolak daripada mengendalikannya sebelum ini. Namun, kalau masih ramai yang menarik diri daripada membekalkannya, ia menandakan program berkenaan yang bermasalah," katanya.

 

Previous Post Next Post