Cikgu Kwan Fong didakwa murung akibat hutang

 


JOHOR BAHRU - Guru wanita, Lo Kwan Fong yang ditemui meninggal dunia di kediamannya di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Iskandar Puteri, di sini, dipercayai mengalami kemurungan akibat masalah hutang dengan along.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Aznan Tamin berkata, maklumat berhubung keadaan guru berusia 39 tahun yang masih bujang itu diperoleh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

“Guru tersebut mendakwa mengalami kemurungan namun tiada sebarang dokumen sokongan daripada pihak hospital dan tidak mempunyai sejarah penyakit.

“Masalah utama kes ini adalah beban hutang yang serius termasuk berhutang dengan along,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mayat wanita itu ditemui selepas jirannya mengesan bau busuk dan membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada jam 8 malam, Khamis lalu.

Menurut beliau, siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang sebulan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru mendapati punca kematian adalah unascertained (penguraian lanjut),” katanya.

Mengulas lanjut, Aznan memaklumkan bahawa guru berkenaan tinggal bersendirian dan maklumat itu diperoleh daripada pihak sekolah selepas menjalankan siasatan bersama jiran terdekat.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dibuat, mendiang juga merupakan anak tunggal dan hidup sebatang kara.

Aznan turut memaklumkan bahawa setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah dikesan.

“Guru tersebut merupakan anak tunggal dan telah kehilangan kedua ibu bapanya pada 1 Mei 2010,” katanya
Previous Post Next Post