Kematian Cikgu Kwan Fong: Pihak Sekolah Sudah Usaha Mencari - Exco



JOHOR BAHRU: Pihak sekolah telah melakukan pelbagai kaedah untuk mencari guru wanita yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak September 2024, sebelum mayatnya ditemukan di rumah pada Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata kali terakhir Lo Kwan Fong, 39, menghubungi sekolah ialah pada 26 Sept 2024 bagi memaklumkan ketidakhadirannya sebelum terus gagal dikesan bermula 10 Nov tahun sama.

"Guru itu tidak dapat dihubungi menerusi panggilan telefon, WhatsApp, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi Messenger serta Telegram. Guru besar sekolah mengeluarkan surat tunjuk sebab atas ketidakhadiran bertugas terhadap mendiang pada 21 Nov dan 19 Dis tahun lepas.

"Nombor telefon guru itu terus tidak dapat dihubungi pada 12 Mac 2025, menyebabkan pihak sekolah menggunakan pelbagai kaedah lain untuk mengesan wanita itu," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Aznan berkata antara kaedah digunakan ialah menerusi surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan surat makluman cabutan daftar alamat daripada Jabatan Pendaftaran Negara.

Selain itu, pemeriksaan dengan jiran mendiang pada 29 Dis 2024 mengesahkan wanita tersebut telah lama tidak pulang ke rumah, selain terdapat banyak surat pada tingkap serta pintu rumah, manakala kereta guru itu berada di tepi jalan berhampiran.

"Mendiang merupakan anak tunggal dan tinggal bersendirian selepas ibu bapanya meninggal dunia," katanya dan menambah guru tersebut didakwa mengalami masalah peribadi.

Aznan berkata setakat malam 13 Jun, mayat mendiang difahamkan masih di Hospital Sultanah Aminah di sini, kerana tiada pihak tampil menuntut mayat itu.

Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat seorang guru di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri dekat sini, dipercayai meninggal dunia sejak sebulan lepas.

-- BERNAMA

 

Previous Post Next Post