![]() |
Mayat Lo Kwan Fong, ditemui di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya selepas dilaporkan tidak hadir bekerja sejak 24 September tahun lalu. |
ISKANDAR PUTERI: Misteri kehilangan seorang guru yang didapati tidak hadir bekerja sejak 24 September tahun lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya di sebuah rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya, dekat sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu hasil satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Nusa Bestari pada hari yang sama.
“Mayat tersebut ditemui selepas jiran menyiasat punca bau busuk di kawasan sekitar sebelum membuat laporan polis pada jam 8 malam.
“Siasatan awal mendapati wanita berkenaan dikenali sebagai Lo Kwan Fong, 39, dipercayai telah meninggal dunia kira-kira sebulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru mendapati punca kematian adalah tidak dapat dipastikan (unascertained) disebabkan oleh tahap pereputan yang telah lanjut (advanced decomposition).
Siasatan lanjut mendapati wanita berkenaan masih belum berkahwin dan bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan yang boleh dikaitkan dengan punca kematian.
Polis turut memaklumkan bahawa mereka sedang mengesan waris mangsa yang dipercayai telah berhijrah ke Singapura. - Sinar Harian