RMT | Tidak semua pengusaha kantin terjejas

Imej hiasan


KUCHING: Pengusaha kantin yang membekalkan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah yang mempunyai murid lebih 100 orang tidak menghadapi masalah mendapatkan pulangan modal walaupun kadar ditetapkan RM3 bagi setiap murid. 

Menjelaskan perkara itu, seorang pembekal EMT, Saipol Abdullah, berkata beliau difahamkan masalah hanya berlaku kepada pengusaha yang membekalkan kepada sekolah yang mempunyai kurang 100 murid. 

Menurutnya, bagi pengusaha di sekolah di kawasan Betong, kadar yang ditetapkan ketika ini masih mampu menampung modal kerana kebanyakan mereka membekalkan kepada lebih 100 murid. 

"Ada tempat menghadapi masalah kerana jumlah murid di sekolah yang mereka bekalkan RMT itu agak kecil. 

"Tetapi bagi kami di Bahagian Betong ini, tiada masalah untuk terus membekalkan RMT di sekolah-sekolah," katanya. 

Saipol berkata, pihaknya juga akur dengan kontrak yang ditandatangani sebelum ini dan terus membekalkan RMT pada kadar yang ditetapkan. 

Menurutnya, meskipun berdepan harga bahan mentah seperti ayam, telur dan minyak masak yang mahal, mereka terus mengekalkan kuantiti dan kualiti makanan seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM). 

Kelmarin, Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa, menyarankan KPM menyemak semula dan menaikkan kadar RMT kepada RM4 dan RM5 bagi murid sekolah rendah di seluruh negara. 

Menurutnya, kenaikan kadar itu wajar seiring kenaikan harga barangan semasa kerana kali terakhir semak semula kadar RMT adalah sekitar tujuh tahun lalu.

 

Previous Post Next Post