Pengusaha kantin tidak mahu teruskan kontrak RMT

Imej hiasan

KUCHING: Ada pengusaha kantin sekolah tidak mahu memperbaharui kontrak membekalkan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) jika kadar sekarang tidak dinaikkan seiring dengan kenaikan harga barangan ketika ini. 

Seorang pengusaha kantin, Saipol Abdullah, berkata kadar sedia ada iaitu RM3 bagi setiap murid, membebankan pengusaha kerana ia tidak sepadan dengan modal yang dikeluarkan. 

"Memang ramai kalangan pengusaha sedang berdepan masalah sekarang, malah ada yang berhasrat untuk tidak lagi memperbaharui kontrak membekalkan RMT jika kadar sekarang dikekalkan. Beban ini amat ketara bagi pengusaha yang membekalkan RMT untuk jumlah murid yang kurang 100 orang. 

"Harga tiga bahan utama yang diperlukan untuk menyediakan RMT iaitu minyak masak, ayam dan telur ayam naik melambung, sedangkan kami masih dibayar pada kadar lama. Kadar RMT ini perlu disemak semula berikutan beban yang kini ditanggung pengusaha akibat kenaikan harga barangan utama," katanya kepada BH. 

Saipol yang mengusahakan kantin di sebuah sekolah di Debak dalam Bahagian Betong berkata, meskipun berdepan harga bahan mentah yang mahal, pengusaha kantin perlu terus mengekalkan mutu makanan seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM). 

"Untuk minuman, kami mesti menyediakan Milo atau Vico dan kami bernasib baik kerana harga barangan itu tidak mengalami kenaikan. Masalahnya untuk makanan, murid sekolah rendah ini mesti mahukan ayam dan telur, tetapi harga bahan mentah itu sudah naik melambung," katanya. 

Semalam, Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa, menyarankan supaya KPM menyemak semula dan menaikkan kadar RMT kepada RM4 dan RM5 bagi murid sekolah rendah di seluruh negara, berbanding antara RM2.50 dan RM3 ketika ini. 

Beliau berkata, kenaikan kadar itu wajar seiring kenaikan harga barangan semasa, malah kali terakhir kadar RMT disemak semula adalah sekitar tujuh tahun lalu.

 

Previous Post Next Post