Didakwa hempas murid, guru direman tiga hari


Marang: Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang murid lelaki patah kaki kanan selepas mendakwa dihempas di sekolah berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, tempoh reman suspek berusia 37 tahun itu bermula hari ini. 

Beliau berkata, ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dijalankan. 

"Suspek yang ditahan semalam dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu pagi tadi bagi mendapatkan perintah reman sebelum dibenarkan reman selama tiga hari," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 

Media semalam melaporkan murid lelaki patah kaki kanan selepas mendakwa dihempas seorang guru Kafa dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah ini. 

Kejadian dipercayai berlaku pada 6 Julai lalu ketika mangsa berusia sembilan tahun berada di sekolah berkenaan. 

Ibu mangsa berusia 36 tahun menyedari kejadian menimpa anaknya kira-kira 5 petang hari yang sama selepas mangsa mengadu sakit kaki.

 

Previous Post Next Post