Dr M, Guan Eng tolak rancangan makanan percuma untuk murid - Maszlee

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menghidangkan sarapan kepada pelajar sekolah rendah pada Ogos 2019. (Gambar Facebook Maszlee Malik)

PETALING JAYA: Maszlee Malik mendedahkan bahawa rancangannya untuk memberi makanan percuma kepada murid sekolah tiga tahun lalu, ditolak perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu.

Maszlee, yang merupakan menteri pendidikan dalam pentadbiran Pakatan Harapan, mencadangkan program sarapan untuk pelajar, bermula dengan 100 sekolah, pada 2019.

Ini adalah untuk memastikan pemakanan yang betul bagi kanak-kanak, selain menggalakkan mereka mengamalkan tabiat pemakanan baik serta mencuci hidangan selepas makan.

“Anda harus ingat bahawa pada 2019, saya telah memulakan idea untuk mengadakan makanan sekolah percuma. Kami menjalankan projek rintis di 100 sekolah dan kami akan melancarkannya pada 2020.

“Tetapi, perdana menteri ketika itu, pada 2020, dan menteri kewangan sangat tidak bersetuju dengan idea itu,” katanya pada forum dianjurkan Universiti Monash Malaysia.

Tanpa menyebut nama individu itu, tetapi Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri dan Lim Guan Eng menteri kewangan ketika itu.

Maszlee tidak menjelaskan bagaimana kedua-duanya menghalang rancangan itu daripada diteruskan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sistem setiap hidangan RM2.50 untuk pelajar yang layak tidak lagi realistik dan membebankan pengusaha kantin susulan tanda harga itu ditetapkan pada 1980-an.

Beliau ditanya bagaimana dasar pendidikan boleh kekal mampan apabila terdapat perubahan kepimpinan berterusan dalam kementerian.

Program sarapan percuma itu memberi manfaat kepada 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara, pada 2020, dan membabitkan perbelanjaan kerajaan antara RM800 juta dan RM1.67 bilion, kata Parlimen pada Okt 2019.

Program tersebut dibatalkan pada kemuncak sekatan akibat pandemik Covid-19, pada 2020.

Maszlee juga bertanya berhubung keadaan 1,000 sekolah daif di luar bandar di Sabah dan Sarawak semasa beliau menjadi menteri.

“Saya telah memantau perkembangan kerja pembaikan. Tetapi, apa yang berlaku kepada pelajar? Apa yang berlaku kepada guru? Apa yang berlaku kepada sekolah? Tiada siapa yang bercakap mengenainya lagi,” katanya.

Beliau juga berkata, perubahan perlu dibuat untuk menjadikan dasar pendidikan lebih berdaya tahan menghadapi cabaran mendatang.

“Tetapi perubahan tidak seharusnya berdasarkan kepada perubahan politik. Pendidikan harus dipisahkan daripada politik,” tambahnya.

Sumber: Free Malaysia Today

Previous Post Next Post