Keciciran akibat kesempitan hidup berbeza dengan faktor minat, motivasi - Dr Anuar

Dr Anuar Ahmad

SHAH ALAM - Masalah keciciran murid disebabkan faktor kesempitan hidup adalah sesuatu yang sangat serius.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ia berbeza dengan keciciran disebabkan perkara bersifat sementara seperti hilang tumpuan, kurangnya motivasi atau minat.

"Kita boleh membantu meningkatkan minat mereka belajar. Tetapi kemiskinan adalah satu faktor bersifat lebih panjang.

"Kalau kita tidak selesaikan dahulu masalah murid-murid miskin ini, misalnya makanan dan perbelanjaan tidak cukup. tiada kemudahan tempat belajar di rumah, ibu bapa tidak mengambil berat tentang pelajaran (anak) sebab terpaksa untuk mencari nafkah, kita akan dapati lebih ramai murid-murid tercicir dalam pembelajaran mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Anuar berkata, adalah menjadi satu kebimbangan besar sekiranya tiada langkah-langkah segera dan bersungguhsungguh diambil oleh kerajaan.

Oleh itu, Anuar menggesa kerajaan mengesan murid-murid yang berada dalam kategori miskin atau mengalami kesempatan hidup untuk diberi bantuan khusus agar kembali belajar.

"Mungkin mereka boleh ditempatkan di asrama dan diberikan bantuan yang lebih baik, juga bantuan alat tulis, buku dan sebagainya.

"Bagi murid kategori miskin ini, sekolah-sekolah mesti memastikan 'mereka mendapat makanan atau di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan susu sekolah.

"Ini dapat memastikan mereka datang ke sekolah, kembali belajar dan akhirnya dapat keluar daripada masalah pembelajaran," katanya.

Previous Post Next Post