Pendidikan seks di sekolah mampu bendung masalah sosial

Ramai yang beranggapan pendidikan seks satu hal yang tidak perlu diajarkan kepada pelajar kerana ia mempromosikan hubungan intim. Bagaimanapun pandangan sebegini tidak tepat. Tanpa ilmu dan panduan yang betul, generasi muda hanya akan lebih cenderung menjadi mangsa.

Hal ini boleh dibuktikan berdasarkan laporan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019, yang menyaksikan remaja berusia antara 13 dan 15 tahun adalah golongan paling ramai menjadi mangsa rogol iaitu sebanyak 264 kes atau 57 peratus sepanjang tempoh itu.

Jumlah ini bukanlah angka yang kecil malah ia sangat membimbangkan. Secara jelas kita melihat remaja dalam lingkungan usia berkenaan tidak mempunyai ilmu berkaitan menyebabkan mereka sangat mudah terdedah kepada bahaya gangguan seksual.

Pendidikan seks tidak bermaksud kita mempromosikan hubungan seksual atau mempersiapkan mereka ke arah itu. Ia seharusnya dilihat sebagai ilmu dan sangat diperlukan bagi membendung masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Antaranya senario antunan seksual, kehamilan bawah umur, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan serta gangguan seksual sama ada di alam maya atau dunia realiti.

Remaja harus mengetahui semua ini bagi menjaga diri sendiri, selain tahu menangani kemungkinan mereka dimangsakan. Pendidikan seks juga penting dalam membina sikap saling menghormati antara lelaki dan wanita malah sesama jantina. Kita harus menyedari tanpa pembelajaran yang betul remaja atau kanak-kanak boleh memperoleh semua itu dengan mudah dan tanpa bimbingan melalui media sosial

Pendidikan seks diajar secara sihat 

Justeru, terdapat kepentingan yang nyata untuk subjek itu diajar dan dibincangkan secara terhormat di negara ini. Hari ini di sekolah, pendidikan seks diajar secara sihat dan ia dimulakan dengan memahami serta mengenaldiri sendiri secara biologi. 

Pelajar juga diajar sebaiknya bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang akan memperkasakan mereka. Justeru, didiklah dengan jelas dan ambil serius akan subjek ini. Jika guru terus berdalih dan berlapik dalam menerangkan fakta yang benar, ia akan mengelirukan lagi anak itu untuk memahami realiti sebenar.

Berpura-pura buta dengan realiti yang berada di depan mata bukanlah pendidikan. Apabila sekolah mengambil tanggungjawab dalam mendidik kanak-kanak, mereka berhutang untuk mengajar kanak-kanak dalam melindungi diri mereka sendiri.

Sebagai masyarakat pula, kita mestilah bergerak menghapuskan pantang larang yang tidak berasas mengenai pendidikan seks, manakala guru pula mestilah memberikan pendidikan lebih daripada sekadar memenuhkan silibus subjek pembelajaran akademik.

Husna Abdul Razak | Universiti Sains Islam Malaysia

Previous Post Next Post