KPM akan teliti semula data keciciran murid Jabatan Perangkaan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti semula data berkaitan dengan isu keciciran murid di negara ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata jika keciciran murid itu disebabkan oleh sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan, pihaknya sudah mengambil langkah awal dengan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

"Pertama sekali berkaitan data yang didedahkan itu, KPM akan lihat apakah konteks data berkenaan. Kita akan melihat secara meluas apakah yang dimaksudkan dengan data berkenaan.

"Namun, jika disebut mengenai peperiksaan atau sistem pendidikan berteraskan peperiksaan itu menjadi punca kepada keciciran, kita sudah memansuhkan UPSR dan PT3.

"Bagaimanapun, walaupun peperiksaan itu sudah dimansuhkan, kita tetap memastikan pelajar ini terus dapat menguasai tahap tertentu. Walaupun tanpa peperiksaan, masih ada pendekatan lain yang akan kita ambil," katanya.

Beliau mengulas muka depan BH yang melaporkan hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 mendapati 5.8 peratus daripada 32 juta rakyat di negara ini tidak pernah bersekolah atau tidak mempunyai pendidikan langsung sehingga dikhuatiri akan menjadi golongan tercicir seterusnya menjejaskan bekalan tenaga kerja di negara ini.

Kaji selidik itu menyebut faktor utama berlakunya keciciran berkenaan adalah disebabkan isu kemiskinan, sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan dan murid hilang minat untuk belajar.

Kali terakhir kerajaan meneliti isu keciciran secara serius adalah menerusi pembentangan Laporan Murad sekitar 50 tahun lalu. Laporan Murad sebelum ini diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Murad Mohamed Noor, yang dibentangkan pada 1972.

Pada 28 April lalu, KPM memansuhkan sepenuhnya UPSR dan memperkasakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan PBD.

Radzi pada 2 Jun lalu turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun ini dan ia digantikan dengan pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

Beliau berkata, pentaksiran berkenaan merangkumi tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Terdahulu, Radzi melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Pancarona, Presint 18, di sini. Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Previous Post Next Post