Murid keciciran sekolah perlu diselamatkan

Imej hiasan


WAKIL rakyat, ketua kampung, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk guru-guru perlu memainkan peranan secara holistik untuk menangani isu keciciran pelajaran dalam kalangan pelajar. 

Masalah keciciran akibat kemiskinan bukan perkara baharu tetapi keadaan itu dilihat kini menjadi semakin serius terutama bagi penduduk di bandar. 

Pada 2016, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendedahkan peratus kehadiran murid di sekolah rendah dan menengah terutama di bandar semakin merosot berbanding sekolah di luar bandar.

Sekolah harian yang mempunyai ramai pelajar daripada keluarga miskin seperti di Kuala Lumpur, kadar kehadiran antara 87 hingga 88 peratus berbanding 98 hingga 99 peratus bagi sekolah di luar bandar.

Pada 2020, kira-kira 40 peratus pelajar di Parlimen Lembah Pantai didakwa gagal hadir ke sekolah kerana kekangan kewangan ibu bapa yang kehilangan kerja akibat wabak Covid-19.

Lebih membimbangkan, sepanjang Mac 2020 hingga Julai 2021, seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah direkodkan atas faktor kemiskinan. 

Mendepani pasca Covid-19, tidak dinafikan taraf hidup rakyat khususnya di bandar semakin terhimpit dan statistik golongan miskin bertambah.

Masalah keciciran pelajar seperti tidak dapat dipulihkan apabila ada ibu bapa yang pasrah dan tidak meneruskan sesi persekolahan anak-anak berikutan masalah kewangan. 

Sinar Harian pada Selasa lalu turut mendedahkan laporan tentang isu keciciran pelajar dalam kalangan keluarga miskin. 

Malah, dilaporkan juga ada ibu bapa yang tidak menerima apa-apa bantuan disediakan oleh kerajaan kerana tidak tahu bagaimana hendak memohon.

Di mana silapnya? Sejauh mana peranan pemimpin setempat berusaha mengenal pasti golongan yang perlu dibantu? Apakah terdapat kelemahan atau kerenah birokrasi dalam hal berkaitan tadbir urus hingga menyukarkan pemimpin dan agensi-agensi tertentu bertindak?

Peranan pemimpin setempat untuk membantu golongan berkenaan perlu diperhebat lagi agar bantuan melalui agensi kerajaan dapat disalurkan kepada golongan sasar.

Mereka perlu selamatkan anak-anak di bandar daripada terus tercicir dalam pelajaran. 

Lebih penting, ketua keluarga perlu diberi peluang menyertai program-program di bawah kementerian untuk membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Previous Post Next Post