PKP, miskin, tinggal di pedalaman, gelandangan antara faktor keciciran - Pakar Pendidik

KUALA LUMPUR: Lebih ramai kanak-kanak dan remaja diyakini tercicir daripada sistem pendidikan negara atau tidak bersekolah langsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak dua tahun lalu.

Pakar Pendidik Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata mereka sepatutnya bersekolah namun tidak dapat menjalani kewajipan itu akibat faktor kemiskinan, tinggal di pedalaman, selain 'lahir' dari keluarga gelandangan di kawasan bandar.

Beliau berkata, Perangkaan Pendidikan Malaysia 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun lalu juga menunjukkan kemungkinan ada kanak-kanak dan remaja yang tidak bersekolah.

Perangkaan itu menunjukkan 90.31 peratus daripada 3.063 juta kanak-kanak berusia enam tahun hingga 11 tahun yang bersekolah rendah, manakala 84.06 peratus daripada 1.445 juta remaja berusia 12 tahun hingga 14 tahun ke sekolah menengah dan hanya 77.87 peratus daripada 956,273 mereka yang berusia 16 tahun ke atas bersekolah di peringkat menengah atas.

"Memang ada sebilangan kecil yang tidak termasuk dalam peratusan itu bersekolah di institusi swasta, namun kita yakin lebih ramai yang tidak bersekolah atau mengalami keciciran daripada yang memasuki sekolah swasta.

"Menurut laporan OECD (Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi), jumlah keciciran anak-anak ke sekolah sememangnya meningkat terutama dalam kalangan negara yang menutup sekolah bagi tempoh lama akibat COVID-19.

"Sehubungan itu, isu membabitkan golongan yang tercicir daripada sistem pendidikan negara atau tidak bersekolah langsung ini perlu dibendung kerajaan dengan sebaiknya.

"Ini kerana kita tidak mahu mereka ini terbabit dalam gejala sosial dan masalah akhlak sehingga lebih banyak kos perlu dikeluarkan kerajaan bagi menguruskan pusat pemulihan," katanya kepada BH, di sini.

Beliau mengulas Laporan Daya Saing Global 2019, yang menyebut sebanyak 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta populasi rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.

Pada masa sama, Anuar berkata, kerajaan perlu memperkasakan semula cadangan Laporan Jawatankuasa Kajian Pendapat Mengenai Pelajaran dan Masyarakat (Laporan Keciciran Murad) 1972, yang sebelum ini terbukti memberi penyelesaian terhadap kumpulan sasar iaitu murid miskin, Orang Asli dan penduduk di pedalaman yang bermasalah mendapatkan pendidikan.

Beliau berkata, antara kaedah penyelesaian yang dilaksanakan ketika itu ialah penyediaan asrama harian bagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman, pinjaman buku teks secara percuma dan makanan percuma di sekolah.

"Kerajaan juga boleh menambah pemberian biasiswa kecil pelajaran kepada pelajar miskin yang mempunyai potensi untuk berjaya dalam akademik," katanya.

Anuar berkata, ibu bapa juga perlu diberi kesedaran bahawa mereka wajib menghantar anak ke sekolah berdasarkan Seksyen 29A mengikut Akta Pendidikan (Pindaan) 2002, yang mana kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan hukuman.

"Seksyen 29A(2) memperuntukkan setiap ibu bapa warga negara Malaysia yang tinggal di negara ini perlu memastikan anak mereka yang mencapai umur enam tahun pada hari pertama bulan Januari didaftarkan sebagai murid sekolah rendah.

"Ibu bapa yang melanggar peruntukan itu boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Previous Post Next Post