Mata pelajaran politik di sekolah belum dibincangkan - Menteri

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan subjek politik di sekolah menengah belum dibincang dengan Kementerian Pendidikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUndang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada membincangkan mengenai perkara itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran supaya pengundi muda keluar mengundi.

Namun, jelasnya, ia masih belum dilaksanakan.

"Memang saya percaya bahawa berhubung demokrasi dan pilihan raya, tanggungjawab belia-belia penting, tetapi cadangan untuk melaksanakan menerusi silibus belum difikir kementerian, tetapi SPR sudah berbincang dengan saya berhubung perkara tersebut. Tetapi belum dilaksanakan.

“Namun, pendekatan kita adalah sampai ke sekolah, bahkan, kementerian saya dah mengatur roadshow di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk beri maklumat kepada mereka," katanya bagi- menjawab soalan yang Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Abdul Azeez meminta kerajaan menjelaskan adakah kementerian bercadang untuk menjadikan pendidikan politik sebagai satu silibus di peringkat sekolah menengah sebagai subjek politik dalam usaha memberi pemahaman mengenai amalan demokrasi dalam kalangan pengundi muda supaya akhirnya mereka sedar pentingnya keluar mengundi.

 

Previous Post Next Post