Tumpu peperiksaan antara faktor utama keciciran murid di sekolah - Pensyarah

KUALA LUMPUR: Isu kemiskinan, sistem pendidikan yang berteraskan peperiksaan dan murid hilang minat untuk belajar, adalah faktor utama menyumbang kepada keciciran murid daripada sistem pendidikan negara yang agak ketara.

Pensyarah Kanan Psikologi Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aini Marina Ma'rof, berkata kemiskinan menjadi faktor utama sejak sekian lama dalam isu keciciran dan ia akan berterusan selagi tidak diatasi.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan satu jawatankuasa khas pelbagai pihak bagi meneliti dan menyelesaikan faktor utama yang menyumbang kepada isu keciciran.

Katanya, kali terakhir kerajaan meneliti isu keciciran secara serius adalah menerusi pembentangan Laporan Murad sekitar 50 tahun lalu.

Laporan Murad yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Murad Mohamed Noor, dibentangkan pada 1972 selepas isu keciciran menjadi serius, dengan tujuan mengatasi masalah keciciran pelajar di luar bandar akibat kemiskinan tegar pada 1969.

"Kita akui kerajaan ambil banyak langkah signifikan, namun pelaksanaan beberapa dasar untuk mengatasi isu keciciran masih lemah.

"Kali terakhir kita benar-benar memantau isu keciciran murid menerusi Laporan Murad dan selepas itu hingga sekarang, tiada badan khas ditugaskan melihat isu ini secara serius.

"Jadi, selepas 50 tahun, saya fikir sudah tiba masanya untuk ditubuhkan jawatankuasa peringkat kebangsaan bagi mengatasi isu ini pada peringkat akarnya," katanya kepada BH, semalam.

BH dalam laporan muka depan semalam mendedahkan, hasil kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019 mendapati 5.8 peratus daripada kira-kira 32 juta rakyat Malaysia tidak bersekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan negara.

Kajian turut merekodkan hanya 22.1 peratus pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain purata pelajar di negara ini hanya menghabiskan persekolahan pada Tingkatan Empat atau usia 16 tahun.

Mengulas lanjut, Aini Marina berkata, tiga faktor utama menyumbang kepada isu keciciran adalah saling berkait, manakala sikap tidak peduli ibu bapa mengenai pelajaran turut memburukkan keadaan.

"Jika kita lihat laporan data keciciran sejak dulu, faktornya tetap sama iaitu kemiskinan, sama ada bagi penduduk di bandar, luar bandar atau pedalaman.

"Kebanyakan anak keluarga B40 juga rasa terasing dengan kandungan kurikulum yang tahapnya terlalu tinggi, menyebabkan mereka hilang minat belajar.

"Ia menyebabkan prestasi akademik mereka terjejas, sekali gus mereka terus rasa terasing dalam persekitaran dan sistem persekolahan yang terlalu berteraskan pada keputusan peperiksaan," katanya.

Ditanya mengapa faktor kemiskinan masih menjadi isu sedangkan yuran di sekolah kerajaan adalah percuma sejak 2012, Aini Marina berkata, kemiskinan bukan merujuk pada faktor kewangan, malah turut merangkumi 'miskin jiwa dan pemikiran'.

"Contohnya, ketika kami menjalankan kajian pemetaan kemiskinan di sebuah negeri di Pantai Timur, kita dapati kumpulan miskin tegar ini enggan berubah sikap.

"Kita bagi benih sayur, dia malas siram hingga akhirnya tanaman mati. Ditanya kemahiran mereka, jawapannya tiada dan enggan apabila kita mahu ajar kemahiran baharu kepada mereka.

"Tidak semua bersikap begini, namun kumpulan yang 'miskin jiwa dan kewangan' akan memandang remeh isu pendidikan serta menyumbang pada isu keciciran berterusan," katanya.

Ramai tercicir ketika PKP

Sementara itu, pakar pendidik Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad percaya lebih ramai kanak-kanak dan remaja tercicir daripada sistem pendidikan atau tidak bersekolah langsung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, mereka sepatutnya bersekolah namun tidak dapat menjalani kewajipan itu akibat faktor kemiskinan, tinggal di pedalaman, selain 'lahir' daripada keluarga gelandangan di kawasan bandar.

Katanya, Perangkaan Pendidikan Malaysia 2021 yang dikeluarkan KPM pada tahun lalu juga menunjukkan kemungkinan ada kanak-kanak dan remaja tidak bersekolah.

Perangkaan itu juga menunjukkan 90.31 peratus daripada 3.063 juta kanak-kanak berusia enam tahun hingga 11 tahun bersekolah rendah; 84.06 peratus daripada 1.445 juta remaja berusia 12 tahun hingga 14 tahun ke sekolah menengah, manakala hanya 77.87 peratus daripada 956,273 mereka yang berusia 16 tahun ke atas bersekolah di peringkat menengah atas.

"Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), jumlah keciciran anak ke sekolah meningkat terutama dalam negara yang menutup sekolah bagi tempoh lama akibat COVID-19.

"Jadi, isu golongan tercicir daripada sistem pendidikan negara atau tidak bersekolah langsung ini perlu dibendung dengan sebaiknya bagi mengelak mereka terbabit gejala sosial dan masalah akhlak sehingga lebih banyak kos dikeluarkan kerajaan bagi menguruskan pusat pemulihan," katanya kepada BH.

1 Comments

  1. BANYAK KALI DAH GURU-GURU MELUAHKAN PUNCANYA 'BIAR GURU MENGAJAR SAHAJA DAN KURANGKAN KERJA BUAT MCM² PELAPORAN DAN JGN TINGGIKAN ARAS SILIBUS. MURID SEKOLAH RENDAH BERI PENEKANAN ASAS 3M TERUTAMA TAHAP 1'
    tu saja....

    ReplyDelete
Previous Post Next Post