Belanjawan 2023 dibentang 7 Okt, tiga minggu lebih awal

Belanjawan 2023 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt, tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menurut laporan The Star, keputusan itu dimaklumkan oleh perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat kabinet hari ini.

Semalam, timbalan menteri kewangan 1, Mohd Shahar Abdullah memaklumkan tiada perubahan tarikh bagi pembentangan Belanjawan 2023 dan ia kekal seperti dijadualkan dalam kalendar parlimen pada 28 Okt.

Penjadualan semula pembentangan Bajet 2023 menguatkan spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Ismail kini menghadapi tekanan dari dalam Umno agar membubarkan parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan.

Malaysiakini hari ini melaporkan Umno memberi kata dua kepada Ismail sama ada mengadakan pilihan raya umum secepat mungkin atau dipecat daripada parti itu, susulan mesyuarat biro politik Umno pada Rabu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lepas berkata, PRU akan datang mungkin diadakan hanya selepas pembentangan belanjawan di parlimen.

"Bila dah lulus, rakyat dah menikmati kebaikan bajet itu, baru sesuai kalau nak bubar, bubarlah ketika itu,” katanya.

Previous Post Next Post