Guru lelaki maut, isteri selamat dalam kemalangan di Lipis

 

LIPIS: Seorang guru lelaki berusia 59 tahun maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Central Spine Road (CSR) Lipis ke Merapoh, dekat sini petang semalam lapor akhbar Utusan Online.

Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, mangsa yang memandu Toyota Corolla Altis, Faudin Ibrahim maut di lokasi kejadian manakala isterinya selamat.

Utusan memaklumkan, Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor dipetik sebagai berkata, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Melaka hendak pulang ke Pasir Putih, Kelantan.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu Faudin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar besi penghadang.

“Akibat kemalangan ini, mangsa yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal, Pasir Putih maut di tempat kejadian manakala isterinya tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, kes kemalangan itu disiasat di bawah di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Previous Post Next Post