Hujah PBS dilaksanakan sejak 2011 bukan jaminan ia berkesan - Dr Anuar

Kementerian Pendidikan perlu ada persiapan awal yang jelas dan dilakukan dengan lebih mantap jika mahu menukar format pentaksiran murid daripada peperiksaan pusat kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBD, PAJSK dan PPSi).

Perkara tersebut dijelaskan oleh Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad hari ini dalam satu hantaran Facebook.

"Mahu  mansuhkan UPSR dan PT3 dan gantikan dengan PBS sepenuhnya? Boleh tapi pastikan dahulu,

"Bilangan murid-murid dalam sesebuah bilik darjah optima (20-25 murid sahaja). Barulah PBD akan berkesan dan teratur," katanya.

Beliau berkata, silibus semua mata pelajaran (khususnya sekolah rendah) telah disemak semula dan telah dilakukan penjajaran sesuai dengan format PBD yang memerlukan pembelajaran murid berasaskan banyak aktiviti. Menurutnya, silibus sekarang terlalu banyak dan berat, guru-guru tidak sempat lakukan banyak aktiviti pembelajaran dan tanpa aktiviti, pentaksiran PBD kurang berkesan.

"KPI pentadbir sekolah, PPD, JPN dan KPM mesti disusun supaya memenuhi matlamat PBS dan bukan lagi diukur pada prestasi akademik sekolah semata-mata. 

"PBD menekan intervensi bukan hasil akhir. Adakah intervensi murid telah menjadi KPI utama pada PPD, JPN dan KPM?, tanya beliau.

Beliau berkata guru-guru mestilah diberikan autonomi melaksanakan PBD sepenuhnya tanpa campur tangan pihak luar bilik darjah. Keputusan Tahap Penguasaan (TP) murid hanyalah untuk rekod guru, panitia (bagi tujuan validasi dan intervensi) dan ibubapa.  

Beliau juga menegaskan perlu ada lebih banyak libat urus guru-ibubapa apabila KPM mahu laksanakan PBD.

"Sepatutnya KPM laksanakan dahulu empat perkara asas ini dan barulah buat keputusan memansuhkan UPSR dan PT3 sepenuhnya. 

"Barulah PBS akan berkesan dan benar-benar memberikan impak pada kemenjadian murid. Hujah bahawa PBS yang telah dilaksanakan sejak 2011, bukan satu jaminan ia akan berkesan bila dilaksanakan sekarang," jelas beliau.

Itulah yang beliau maksudkan 'jangan tergesa-gesa mansuhkan UPSR dan PT3'.

Previous Post Next Post