Guru suspek rogol hilangkan diri sejak Julai

Fatimah ketika mengadakan sidang media berhubung kes guru disyaki merogol pelajar, hari ini. – Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah membekukan gaji seorang guru yang disyaki merogol dua pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Sebauh, Tatau di Bintulu, beberapa bulan lalu. 

Tindakan itu diambil selepas guru berusia 33 tahun berasal dari Tumpat, Kelantan itu menghilangkan diri sejak 19 Julai lalu. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdulla, berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat dua mangsa berusia 14 tahun itu masing-masing pada 27 dan 29 Julai lalu. 

Menurutnya, kes berkenaan juga sudah dirujuk kepada Lembaga Tatatertib Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. 

“Polis masih memburu suspek yang menghilangkan diri sejak kes itu terbongkar bulan lalu dan saya berharap pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia dapat mengesan suspek. 

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, hari ini. 

Fatimah berkata, pihaknya juga sudah menjalankan tindakan susulan dengan memberikan sistem sokongan terhadap dua pelajar terbabit. 

Ia termasuk bantuan perubatan dan khidmat psikologi bagi memastikan kesan kejadian itu tidak menjejaskan tumpuan dua mangsa terhadap pelajaran. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit dalam kenyataan, baru-baru ini mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. 

Justeru beliau meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung lokasi suspek diminta supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurikman Hadi di talian 019-3517155. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi terus talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304,” katanya. – Berita Harian

 

Previous Post Next Post