NUTP mahu CRK guru ditingkat kepada 14 hari


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kerajaan meningkatkan Cuti Rehat Khas (CRK) guru daripada 10 kepada 14 hari dengan kali terakhir perubahan dilakukan empat tahun lalu. 

Presidennya, Aminuddin Awang, berkata cadangan itu selaras peningkatan jumlah maksimum pengumpulan gantian cuti rehat (GCR) penjawat awam daripada 150 hari kepada 160 hari bagi award gantian tunai (golden hand shake) seperti dibentangkan pada Belanjawan 2022. 

Katanya, NUTP kini sudah bersedia menyuarakan hasrat itu pada Majlis Bersama Kebangsaan Bagi Pekerja-Pekerja Pengurusan dan Profesional untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan jumlah hari CRK guru yang juga menyumbang kepada Award Gantian Tunai selepas bersara. 

Katanya, kali terakhir jumlah hari CRK dinaikkan adalah pada 2018 iaitu tujuh hari kepada 10 hari dan terpakai hingga kini. 

"Jumlah 10 hari CRK kini dilihat tidak mencukupi untuk guru memandangkan faktor keperluan kehidupan guru sekarang. 

"Apatah lagi untuk menggunakan lebihan CRK sebagai gantian tunai sewaktu bersara. Kami melihat ini penting demi kebajikan guru selepas bersara," katanya. 

Terdahulu, kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2022 bersetuju menaikkan jumlah hari maksimum GCR daripada 150 hari kepada 160 hari dan membenarkan pemberian awal award wang tunai GCR sebanyak 80 hari mulai Januari 2022. 

Menurut kenyataan JPA, sekiranya pegawai mengumpul GCR melebihi 160 hari, lebihan GCR yang terkumpul boleh digunakan pegawai sebagai cuti rehat pada tahun persaraan. 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya melihat situasi tugas guru kini mendorong kepada hak mereka diberikan CRK selama 14 hari. 

"Tugas seorang guru kini amat mencabar apatah lagi mereka juga menjalani kehidupan seperti penjawat awam lain. 

"Pemberian 14 hari CRK dilihat membantu guru mengumpulkan award gantian tunai mereka pada masa hadapan. 

"Ini juga termasuk peluang mereka menggunakan CRK dengan berhemah tanpa perlu tekanan daripada mana-mana pihak," katanya.

 

Previous Post Next Post