KPM perlu teruskan usaha PH terdahulu ringankan beban guru - Syed Saddiq

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meringankan beban guru di sekolah seperti yang pernah dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Menurut beliau, sebanyak 50 peratus beban guru berjaya dikurangkan pada era kerajaan PH dengan diwujudkan jawatan pembantu guru.

“Apa salahnya benda yang baik di zaman PH dahulu kita teruskan atau perbaiki bersama. We must do better!,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau mengulas demikian selepas tular satu video menerusi akaun Tik-Tok “urlastexxxxxx” tentang seorang guru yang dikatakan meletakkan jawatan kerana tidak mampu lagi menghadapi bebanan kerja.

Syed Saddiq yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, sebagai individu yang datang daripada latar keluarga pendidik, beliau sangat memahami bebanan yang dihadapi oleh para guru.

“Kesian bila saya tengok masih lagi cikgu kena buat kerja lebih dari mengajar. Walaupun sesi mengajar habis pada pagi, tapi petang kena sambung tanda kerja rumah pelajar-pelajar.

“Bukan satu kelas saja, tapi kadang-kadang boleh sampai dua ke tiga kelas dan dua darjah atau tingkatan lagi,” ujar beliau.

Tambahnya, guru bukan sahaja dibebankan dengan tugasan mengajar bahkan mereka juga terpaksa melakukan tugasan pengkeranian dan terlibat dengan aktiviti kokurikulum.

Jelas beliau, berdasarkan pengalaman ibunya yang merupakan seorang guru, ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, para guru tetap dikerah untuk mengemas sekolah meskipun pada masa tersebut Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hampir tiba.

“Saya takut bila dah dibebani macam ini, cikgu-cikgu hilang minat untuk mengajar kerana terlalu penat,” katanya.

Previous Post Next Post