'Saya lebih selesa ajar bawah pokok'

ZAINUL Hakim Shazni tekun mengajar pelajarnya. FOTO Ihsan Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad

Kuala Lipis: Bagi menarik minat pelajar mempelajari Bahasa Inggeris, Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sungai Koyan, di sini, tampil kreatif dengan menggunakan pendekatan mengajar lebih santai.

Zainul Hakim Shazni, 28, yang baru dua tahun menjadi pendidik melakukannya dengan mengadakan kelas Bahasa Inggeris di bawah pokok dekat padang sekolah.

Katanya, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah itu diperkenalkannya sejak awal tahun ini dan mendapat maklum balas positif pelajar dan pengurusan sekolah.

"Saya sebenarnya mengambil idea dan inspirasi daripada bekas guru, Samuel Isiah yang pernah menjadi finalis untuk 10 guru terbaik dunia dalam Anugerah Guru Global 2020. Bezanya, beliau adakan kelas di luar manakala saya masih dalam kawasan sekolah pada waktu PdP.

"Sebelum melaksanakannya, saya terlebih dulu berbincang dengan Ketua Panitia Bahasa Inggeris selain dapatkan pandangan pengetua sekolah dan mereka beri galakan malah pelajar saya yang paling teruja sebenarnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Zainul Hakim Shazni yang mengajar pelajar Tingkatan Satu hingga Lima berkata, pelbagai aktiviti diadakan sewaktu sesi PdP di padang, antaranya mengajar pelajar bagaimana menggunakan deria yang ada seperti penglihatan dan pendengaran untuk peka dengan persekitaran, sketsa dan menulis di bawah pokok.

"Jujurnya, saya lebih selesa mengajar di luar bilik darjah seperti di padang kerana suasananya lebih nyaman berbanding di dalam kelas. Pelajar juga seronok cuma saya tetap utamakan keselesaan dengan membawa kanvas sebagai alas duduk mereka.

"Bukan setiap masa saya adakan kelas di padang kerana ikut juga keadaan dan faktor cuaca," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) lulusan Universiti Malaya (UM).

Setakat ini, Zainul Hakim Shazni gembira kerana pendekatannya itu diterima baik pelajar malah nampak keberkesanannya berdasarkan peningkatan prestasi pelajarnya dalam subjek Bahasa Inggeris.

"Saya mengajar di kawasan luar bandar dan separuh daripada pelajar di sekolah adalah anak Orang Asli. Usaha menarik minat pelajar luar bandar terhadap Bahasa Inggeris bukannya mudah dan ada di antara mereka kurang keyakinan.

"Jadi, tanggungjawab saya sebagai guru adalah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek yang menyeronokkan, bukannya bosan atau menakutkan," katanya.

PELAJAR gembira kerana dapat mengikuti sesi PdP di luar bilik darjah. FOTO Ihsan Zainul Hakim Shazni Zainul Fuad

Zainul Hakim Shazni mengakui turut gembira usahanya itu mula memperlihatkan perkembangan positif kerana ada pelajar sudah berani menyapanya di sekolah dengan bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Itu satu perkembangan yang baik dan saya berharap usaha saya dapat memberi idea serta menjadi contoh kepada rakan guru lain bahawa kita tidak perlukan teknologi canggih untuk menarik minat pelajar. Lebih ramai cikgu yang buat lebih seronok sebenarnya," katanya.

Berkongsi perancangannya, Zainul Hakim Shazni berkata, selain padang, dia mahu mengadakan kelas Bahasa Inggeris di pondok Orang Asli pula yang ada dalam kawasan sekolah.

"Jika ada rezeki pula, saya merancang untuk membawa pelajar ke tempat menarik supaya mereka berpeluang melihat dunia luar," katanya.

Previous Post Next Post